Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Dr. Mohd Suzeren Md. Jamil di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 24 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Seramai 76,153 pelajar baharu di Universiti Awam (UA)  bagi sesi 2020/21 yang bermula September lalu mendapat manfaat daripada Bantuan Kewangan One-Off sebanyak RM50.

Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dr. Mohd Suzeren Md. Jamil berkata, pemberian bantuan itu diberikan memandangkan golongan itu paling terkesan selepas pengumuman pendaftaran secara fizikal atau bersemuka di UA pada 2 Oktober lalu.

Beliau berkata, KPT amat prihatin dengan nasib pelajar baharu memandangkan ini kali pertama mereka menyambung pengajian di UA dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM3.8 juta.

“Bagi mengurangkan beban mereka, insentif RM50 diperuntukan bagi setiap pelajar UA untuk melanggan awal pembelian data mengikut tawaran telekomunikasi masing-masing.

“Bantuan telah mula disalurkan mulai bulan ini sehingga akhir bulan depan oleh pihak UA dan pelajar boleh membuat semakan di Bahagian Kemasukan atau Hal Ehwal Pelajar (HEP) di UA masing-masing.

“Bagi yang belum atau lambat mendapat bantuan itu, mungkin mereka berdepan masalah dalam mengisi maklumat diri dengan lengkap,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di KPT di sini baru-baru ini.

Mohd. Suzeren menambah, bantuan RM50 itu disalurkan secara tunai oleh UA mengikut kaedah agihan yang mematuhi prosedur standard operasi (SOP) Majlis Keselamatan Negara dan pelajar perlu memiliki akaun bank sendiri.

“Pelajar boleh membuka akaun bank sendiri di mana-mana bank kecuali akaun Tabung Haji dan Amanah Saham sahaja.

“Sekiranya mereka berdepan kemusykilan, pelajar boleh menghubungi Pegawai Penyelaras di Bahagian Kemasukan atau HEP di UA masing-masing,” katanya.

Mohd. Suzeren memberitahu, KPT turut memberikan bantuan Pakej Pelan Data kepada pelajar UA khususnya dalam kategori B40 yang memberi manfaat kepada 320,396 pelajar.

Beliau berkata, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM24 juta di mana 225,784 pelajar mendapat bantuan pelan data dan 94,612 menerusi bantuan kewangan sama ada secara tunai atau baucar.

Jelasnya, bantuan itu diberikan bagi memberikan kemudahan para pelajar yang sedang menyambung pengajian mereka khususnya akses kepada Pembelajaran dan Pembelajaran (PdP) secara atas talian.

“Sejak wabak Covid-19 mula melanda negara, ia bukan sahaja telah menjejaskan ekonomi negara bahkan sektor pendidikan apabila PdP terpaksa dilakukan secara atas talian.

“Oleh itu, bantuan ini akan meringankan beban kewangan pelajar khususnya daripada keluarga B40 dan pelajar yang berada di kawasan liputan internet yang kurang memuaskan,” katanya. – MalaysiaGazette