Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam Operasi Benteng semalam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam Operasi Benteng semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak berkuasa juga berjaya merampas tiga buah bot dan kapal selain sebuah kenderaan darat.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Polis Diraja Malaysia juga telah menahan 311 individu kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Daripada jumlah itu, seramai 306 individu telah dikompaun manakala lima individu pula direman, katanya.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (97), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (75), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (69), rentas daerah/negeri PKPB tanpa kebenaran (30), aktiviti pusat hiburan (26) dan lain-lain (14).- MalaysiaGazette