Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, jangkaannyaa tepat apabila tiada seorang pun Ahli Parlimen pembangkang yang bangun untuk membolehkan undi belah bahagi bagi Belanjawan 2021 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Luar Negeri hari ini.

Belanjawan 2021 untuk Kementerian Luar Negeri diluluskan di Peringkat Jawatankuasa dengan lebih suara bersetuju walaupun pembangkang memberitahu mahu undi belah bagi untuk semua kementerian.

Menteri Pengangkutan itu berkata, nampaknya Ahli Parlimen pembangkang sudah sedar bahawa ‘wayang’ mereka kini sudah tak laku.

”Sebab itulah saya gunakan tagline #ConsistentlyInconsistent bagi menyifatkan tindakan pembangkang mengusulkan undi belah bahagi di Dewan Rakyat semalam.

”Semalam bukan main lagi Mat Sabu (Mohamad Sabu) berteriak kata, “pembangkang akan minta undi belah bahagi bagi setiap kementerian dan biar kalah 27:0 pun tak apa”.

”Hahaha…. Tapi Abang Mat tak berada di Dewan Rakyat semasa memutuskan Belanjawan 2021 di Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Luar hari ini!,” kata Ka Siong menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam, katanya, Ahli Parlimen pembangkang membantah belanjawan untuk Jabatan Perdana Menteri tetapi keputusan selepas undi dikira – 105 undi menyokong, 95 tidak menyokong.

Ahli Parlimen pembangkang juga bantah untuk Kementerian Kewangan namun keputusan selepas undi dikira,106 undi menyokong, 95 tidak menyokong.

Ka Siong berkata, tengah hari ini hanya Lim Guan Eng seorang saja yang hadir ketika memutuskan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Luar Negeri.

”Saya perhatikan, apabila tiada undi belah bahagi sebaliknya diluluskan dengan lebih suara bersetuju, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir terus mengemas beg dan bergegas keluar Dewan.

”Apakah itu satu kebetulan? ”Pelik, pelik, pelik…. Kebetulan juga, pada masa sama Datuk Seri Najib Razak hadir dan berada di dalam Dewan Rakyat. Apakah kehadiran Najib menyebabkan PH mengubah strategi dan tidak lagi berani untuk meminta undi belah bahagi? Hanya pemimpin PH yang dapat menjawabnya!,” ujar beliau lagi.

Ka Siong berkata, itulah pembangkang – semalam cakap lain, hari ini buat lain.

”Patutlah Manifesto PH pada PRU14 tidak ditunaikan kerana #ConsistentlyInconsistent adalah falsafah PH!,” katanya. – MalaysiaGazetteAhli Parlimen