Sebanyak 13 kluster baharu Covid-19 hari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua lagi kluster hari ini.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kluster yang direkodkan adalah sebanyak 364 kesemuanya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 184 kluster termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Highway, Kluster Inai, dan Kluster Jalan Meru.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 180 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 33 kluster melaporkan pertambahan kes.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Teratai (778 kes), Kluster Hentian (118 kes) dan Kluster Batu Tujuh (37 kes),” katanya menerusi kenyataan mengenai petrkembangan terbaharu Covid-19 hari ini.

Noor Hisham memaklumkan, kedua-dua kluster baharu tersebut adalah Kluster View Kolombong dan Kluster Talang-Talang.

Katanya, kedua-dua kluster berkenaan melibatkan negeri Sabah iaitu daerah Kota Kinabalu dan Tuaran.

Justeru beliau mengingatkan, agar orang ramai sentiasa patuh dengan nasihat KKM serta mengikuti saranan-saranan yang seringkali dinyatakan.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO.

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan,” tambahnya. – MalaysiaGazette