Peguam, P. Nagarajan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan penyelewengan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran di Mahkamah Sesyen Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 01 DISEMBER 2020.

SHAH ALAM – Seorang peguam hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan meminta suapan berjumlah RM67,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak ditangkap pihak berkuasa di Kajang, pada akhir 2017.

Nagarajan Periasamy, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut keempat-empat pertuduhan itu, Nagarajan didakwa dengan niat meminta suapan berjumlah RM67,000 daripada Bala Krishanan Segaran dengan memperdayakannya agar membantu tidak ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan penyelewengan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

Bagi pertuduhan pertama, kesalahan itu dilakukan di RHB Bank Berhad Cawangan Kajang, Selangor di mana Nagarajan mendorong Bala Krishanan menyerahkan wang berjumlah RM27,000 melalui cek Hong Leong Bank Syarikat Spectrum Professional Academy Sdn Bhd, kira-kira jam 1 petang pada 18 September 2017.

Bagi pertuduhan kedua pula, kesalahan itu dilakukan di kawasan pakir kereta berhadapan Restoran Sri Pandi, Jalan Semenyih, Kajang di mana Nagarajan mendorong Bala Krishanan menyerahkan wang tunai berjumlah RM15,000 kira-kira jam 1.30 petang pada 13 Oktober 2017.

Bagi pertuduhan ketiga pula, kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Berhad Cawangan Kajang di mana Nagarajan mendorong Bala Krishanan menyerahkan wang berjumlah RM5,000 melalui Malaysia Electronic Payment System (MEPS) Pindahan Dana ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya, kira-kira jam 6.30 petang pada 22 Oktober 2017.

Bagi pertuduhan keempat pula, kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Berhad Cawangan Kajang di mana Nagarajan mendorong Bala Krishanan menyerahkan wang berjumlah RM20,000 melalui Malaysia Electronic Payment System (MEPS) Pindahan Dana ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya, kira-kira jam 9.00 malam pada 1 November 2017.

Nagarajan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap keempat-empat pertuduhan itu.

Bagaimanapun Hakim Rozilah tidak membenarkan ikat jamin dikurangkan dan menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah bagi terhadap keempat-empat pertuduhan.

Hakim Rozilah turut menetapkan 22 Januari 2021 sebagai tarikh sebutan semula kes itu. – MalaysiaGazette