Seorang lelaki yang cuba menyamun pengurus bank menggunakan pistol tiruan berjaya dicekup orang awam dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Kuchai Lama 10.30 malam semalam. Foto ihsan, IPD Brickfields.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang cuba menyamun seorang pengurus bank menggunakan pistol tiruan gagal apabila dicekup orang awam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian berlaku di tempat letak kereta hadapan sebuah restoran, Jalan Kuchai Maju 8, Kuchai Lama sekitar jam 10.30 malam semalam.

Semasa kejadian, mangsa seorang wanita berusia 32 tahun menuju ke keretanya selepas selesai makan di restoran berdekatan.

“Setelah selesai makan malam, mangsa telah masuk ke dalam keretanya jenis BMW berwarna putih, tiba-tiba didekati suspek lelaki yang bersenjatakan ‘pistol’ dan cuba melakukan samun.

“Setelah pengadu menjerit meminta tolong daripada orang awam di situ, suspek terkejut dan panik terus melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan 36(1) Akta Senjata 1960.

Bagaimanapun, menurut Anuar, tempat kejadian adalah kotak parkir hadapan restoran tersebut dan lokasi berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup.

“Tiga saksi yang berada di tempat kejadian telah melihat insiden itu dan polis merakam percakapan mereka untuk bantu siasatan.

“Suspek dipercayai lelaki tempatan telah mengacukan pistol tiruan ke arah pengadu dan melakukan samun tetapi mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dan kecederaan.

“Bertindak atas kejadian itu jam lebih kurang 10.45 malam pada hari yang sama, pegawai bersama sepasukan polis IPD Brickfields telah berjaya menahan semula suspek itu yang telah ditangkap orang awam di lokasi kejadian.

“Kita juga merampas sepucuk pistol tiruan jenama Forjas Taurus S.A PT 24/7 CAL 9MM 71218053 dan satu kelopak warna hitam.

“Suspek seorang penganggur dan masih bujang itu beralamat di Taman Bukit Maluri, Kepong.

“Siasatan lanjut polis mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan mengakui cuba melakukan samun dengan menggunakan pistol tiruan,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.