Perbahasan RUU Perbekalan 2021 hari ini menyaksikan tiga kementerian mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini menyaksikan tiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 bagi tiga kementerian diluluskan, dengan dua darinya menerusi suara ramai dan satu lulus secara undi belah bahagi.

Dua kementerian yang lulus dengan suara ramai ialah Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara, manakala Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi lulus dengan undi belah bahagi.

Menerusi undi belah bahagi, kementerian itu mendapat 108 undi bersetuju, 95 tidak bersetuju dan 17 Ahli Parlimen tidak hadir.

Menurut Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, dengan keputusan itu, sejumlah wang berjumlah kira-kira RM476 juta bagi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komiditi diluluskan untuk perbelanjaan mengurus.

Penggulungan bagi peringkat jawatankuasa untuk kementerian itu dilakukan oleh Timbalan Menterinya, Willie Mongin.

Dengan itu, sehingga hari ini, lima kementerian telah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, dengan dua darinya diluluskan semalam secara undi belah bahagi.

RUU Perbekalan itu ialah Jabatan Perdana Menteri yang mendapat sokongan 105 dari pihak kerajaan, 95 pembangkang, manakala Kementerian Kewangan pula memperoleh sokongan 107 kerajaan dan 95 pembangkang.

Sebelum itu, Dewan Rakyat agak kelam kabut dengan seperti biasa dimulakan oleh SN Rayer (Jelutong-DAP), yang mendakwa pada akhir penggulungan, Willie telah memberi isyarat jari tengah kepada Ahli Parlimen blok pembangkang.

“Ini menghina kaum wanita,” kata Jelutong, sambal disampuk Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan-BN) dengan bertanya, macam mana (Willie buat) tunjukkan.

Azhar Azizan kemudian bertanyakan kepada Willie, adakah benar beliau melakukan perbuatan itu sebagaimana dakwaan Jelutong.

Willie menjawab: “Saya tegaskan itu tidak benar, mungkin mereka (pembangkang) tersalah nampak.

“Saya ingin perjelaskan, saya tak tunjuk jari tengah, mungkin mereka silap nampak, tapi kalau mereka anggap demikian, saya sedia minta maaf,” katanya. – MalaysiaGazette