Rina Mohd Harun

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan khidmat aduan khas untuk orang ramai mengemukakan aduan dan permohonan bagi kes krisis jiwa dan mental.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, selain memandang serius krisis itu, kementerian menyediakan inisiatif berkenaan bagi membantu menyelesaikan konflik itu sebagai usaha melahirkan rakyat yang sihat dan normal.

“Kita pandang serius krisis jiwa dan mental ini. Hasil tinjauan kementerian mendapati sokongan sosial antara mekanisme yang berkesan bagi mengatasi masalah itu.

“Justeru, dengan adanya khidmat aduan ini, orang ramai boleh hubunginya untuk mengemukakan aduan atau permohonan berkaitan isu dera, gelandangan, kaunseling, masalah kanak-kanak, sosial remaja dan kumpulan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Jawapan-Jawapan Menteri Bagi Pertanyaan-Pertanyaan persidangan Parlimen Keempat Belas Penggal Ketiga Mesyuarat Ketiga, hari ini.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Latif Ahmad menjelaskan, kementeriannya memperuntukkan RM216.7 juta untuk pelaksanaan 15 projek pembangunan di Sabah.

Kata beliau, daripada jumlah itu kira-kira RM88 juta dibelanjakan sehingga Oktober lalu, manakala 40 peratus bekalan air luar bandar pula melibatkan 63 projek dengan kos dibelanjakan sebanyak RM71.8 juta.

Menjawab soalan tambahan, beliau menyatakan Sabah mempunyai muka bumi yang luas dengan penduduknya semakin bertambah.

Oleh itu, katanya, kerajaan terpaksa melaksanakan pembangunan berasaskan sesuatu yang sentiasa berubah dan menyukarkan kementeriannya untuk memberi jaminan akan dilaksanakan sepenuhnya.

Bagaimanapun, memandangkan Sabah kini diperintah Perikatan Nasional (PN) dan selari dengan Kerajaan Persekutuan, akan memudahkan kementeriannya merealisasikan projek pembangunan secara teratur di negeri itu.

“Malah, dalam Belanjawan 2021 pun ada peruntukan khusus untuk Sabah dan Sarawak, selain peruntukan dari kementerian ini,” katanya. – MalaysiaGazette