Foto hiasan

BOGOR- Sebelum pandemik Covid-19 melanda, kadar penghunian hotel-hotel di Bogor adalah di antara 70 hingga 80 peratus.

Bagaimanapun, disebabkan pandemik, 30 daripada 33 hotel berbintang di Bogor terpaksa ditutup semasa di peringkat awal virus Covid-19 mula menular di negara berkenaan.

Kini, selepas lebih lapan bulan sejak Presiden Joko Widodo mengumumkan kes Covid-19 di Indonesia, industri hospitaliti Bogor mula menunjukkan tanda-tanda mulai pulih sejak Julai lalu.

Menurut Persatuan Pengurus Besar Hotel (IHGMA) bahagian Bogor Raya, kadar penghunian dilaporkan mencecah sekitar 70 peratus pada November.

Kadar itu merupakan yang tertinggi di Jawa Barat.

Agensi berita Antara melaporkan pemulihan tersebut dipacu oleh sekatan sosial berskala besar yang menekankan amalan norma baharu.

Dasar-dasar yang telah dilonggarkan juga memberikan ruang kepada perniagaan di semua sektor untuk dibuka semula.

“Kementerian-kementerian dan organisasi-organisasi lain mula mengadakan mesyuarat di Bogor pada November,” kata Pengerusi IHGMA bahagian Bogor Raya, Eka Gartika.

Sementara itu, pemilik-pemilik hotel turut melaksanakan protokol kesihatan serta mendapatkan persijilan kebersihan, kesihatan, keselamatan dan kelestarian alam sekitar (CHSE).

Pengerusi Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia (PHRI) Bogor, Yuno Abeta Lahay berkata, persijilan VHSE merupakan cara terbaik untuk menunjukkan komitmen pengusaha-pengusaha hotel untuk meningkatkan perkhidmatan mereka.

Ia juga langkah terbaik untuk memberi keselamatan dan keselesaan kepada pelanggan ketika pandemik. – Agensi