Jawatankuasa Strategik Pengurusan Pandemik (JSPP) telah menyiapkan draf pelan tindakan bagi menyeimbangkan kesan kesihatan, keselamatan serta ekonomi rakyat ketika pandemik Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Strategik Pengurusan Pandemik (JSPP) telah menyiapkan draf pelan tindakan bagi menyeimbangkan kesan kesihatan, keselamatan serta ekonomi rakyat ketika pandemik Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan tersebut telah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 30 November lalu sebelum dilancarkan sebagai garis panduan menghadapi krisis atau pandemik yang melanda negara.

“Bagi tujuan ini kerajaan telah membentuk JSPP yang mana terdapat 10 jawatan kuasa kerja dan di bawah jawatan kuasa ini yang telah merangka pelan tindakan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang dalam menghadapi ancaman pandemik di negara ini,” katanya dalam sidang medianya hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan sehingga kini, Kementerian Sumber Manusia telah membuka sebanyak 21 kertas siasatan berkenaan pematuhan majikan terhadap Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Tindakan itu dibuat berdasarkan pemeriksaan dan penguatkuasaan yang sedang giat dijalankan di seluruh negara.

“Gelombang ketiga ini, sebahagian besarnya berpunca daripada warga asing khususnya melibatkan kilang-kilang, tapak-tapak binaan serta pusat-pusat tahanan.

“Sebagai langkah pencegahan, kerajaan telahpun bersetuju untuk melaksanakan ujian saringan wajib terhadap pekerja warga asing dan menambahbaik SOP (Prosedur Operasi Standard) melibatkan pusat-pusat tahanan,” tambahnya.

Sejak kebelakangan ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan pertambahan kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja-pekerja kilang.

Antara yang dilihat menjadi tumpuan buat masa ini adalah Kluster Teratai membabitkan pekerja kilang sarung tangan Top Glove di Klang.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast