logo plus

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengesahkan seorang kakitangannya di Plaza Tol Sedenak di Johor telah disahkan positif jangkitan Covid-19 pada 1 Disember 2020.

Kakitangan tersebut, seorang Pembantu Khidmat Pelanggan, pada ketika ini sedang dirawat di sebuah hospital.

Susulan pengesahan itu, PLUS telah menjalankan pengesanan kontak dan mengarahkan semua kakitangan operasi dan penyelenggaraan di plaza tol terbabit supaya mengadakan pemeriksaan dan saringan kesihatan.

Pada masa yang sama, PLUS memberi jaminan bahawa kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan akan diadakan di plaza tol yang terbabit. Sehubungan dengan itu, Plaza Tol Sedenak akan ditutup sementara mulai jam 12:00 tengahari pada 2 Disember (Rabu) untuk kerja-kerja sanitasi dan pembersihan selama 6 jam.

Oleh itu, orang ramai dari Sedenak dan kawasan sekitar yang menuju ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru boleh memasuki lebuh raya PLUS menerusi Plaza Tol Simpang Renggam atau Kulai sepanjang tempoh penutupan tersebut.

Sementara itu, bagi pelanggan dari Kuala Lumpur yang menghala ke Sedenak dinasihatkan supaya keluar dari lebuh raya menerusi Plaza Tol Simpang Renggam, manakala bagi pelanggan dari Johor Bahru yang menghala ke Sedenak dinasihatkan supaya keluar dari lebuh raya menerusi Plaza Tol Kulai. – MalaysiaGazette