Pekerja buruh binaan warga asing beratur bagi membuat saringan Covid-19 yang dikelola oleh majikan berikutan Perintah Kawaln Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan Batai, Bukit Damansara. foto AFIQ RAZALI, 09 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Presiden Master Builders Association Malaysia, Foo Chek Lee berkata, kebanyakan syarikat pembinaan telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP), tetapi pekerja asing yang berpindah-pindah antara tapak mungkin menyumbang kepada kluster jangkitan melibatkan tapak binaan di Kuala Lumpur.

Chek Lee berkata, kebanyakan syarikat pembinaan akur kepada SOP yang ketat kerana tapak mereka akan ditutup jika berlaku kes jangkitan.

“Jika tapak ditutup, ia bermakna kami terpaksa menanggung sewa dan juga gaji walaupun kerja pembinaan terhenti,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata, masalah timbul apabila terdapat pekerja asing yang bertugas di banyak tempat kerana bos mereka yang merupakan kontraktor kecil menerima lebih satu kontrak pada masa yang sama.

Katanya, pekerja berkenaan mungkin melakukan tugas berbeza di tempat berlainan termasuk menyusun bata di tapak pertama dan menjadi tukang kayu di tapak kedua.

“Walaupun mereka mematuhi SOP di tapak binaan, tetapi kami tidak tahu keadaan mereka di tempat lain, terutamanya jika mereka duduk di luar tapak binaan,” katanya.

Menurutnya, kontraktor berskala besar biasanya akan menyediakan kemudahan penginapan untuk mengawal pergerakan pekerja dan memastikan tempat tinggal tidak terlalu sesak.

“Kami justeru berharap kontraktor berskala besar juga boleh membantu kontraktor kecil untuk menghadapi wabak ini.

“Hakikatnya, tapak akan ditutup dan menjejaskan semua orang jika pekerja kontraktor kecil dijangkiti,” katanya. – MalaysiaGazette