Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 373 kluster Covid-19 telah dikesan termasuk empat kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, jumlah kluster yang telah tamat adalah sebanyak 189 kluster termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Bukit, Kluster Tujuh Serangkai dan Kluster Laut.

Kata beliau, ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 184 kluster.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 43 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Usaha sebanyak 84 kes, Kluster Kaya (74 kes) dan Kluster Hentian sebanyak 60 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham memberitahu, Kementerian Kesihatan Malaysia turut mengesan empat kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini melibatkan dua negeri.

Jelas beliau, kluster pertama iaitu Monsoon melibatkan daerah Petaling di Selangor yang mana kes indeks iaitu kes ke-63,687 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 29 November lalu hasil saringan individu bergejala.

Katanya, kluster kedua pula adalah Jalan Kilang melibatkan daerah Lahad Datu di Sabah yang mana kes-kes awal dalam kluster ini telah dilaporkan positif bermula 15 November lalu hasil saringan tempat kerja di sebuah kilang.

“Kluster seterusnya adalah Perdana Enam daerah Lahad Datu di Sabah iaitu kes ke-53,954 telah dilaporkan positif pada 22 November lalu hasil saringan individu bergejala.

“Kluster terakhir adalah Jalan Kubota melibatkan daerah Tawau di Sabah di mana indeks iaitu kes ke-59,101 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 25 November lalu juga  hasil saringan individu,” katanya. – MalaysiaGazette