Natasha Ng

KUALA LUMPUR – Laurent Bleu Medical Clinic menawarkan Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) dengan harga RM60 seorang bermula 1 Disember.

Ketua Pegawai Eksekutif Laurent Bleu, Natasha Ng berkata, usaha ini merupakan salah satu cara pihaknya melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan menyediakan ujian dengan harga yang berpatutan untuk semua orang.

“Inisiatif ini sejajar dengan langkah kerajaan yang menjalankan saringan kepada pekerja asing di kawasan zon merah. Kami mahu saringan ini boleh dijalani oleh semua orang sekaligus meratakan
lengkung kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mana-mana individu yang mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) layak membuat tuntutan 100%.

“Kami sedar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil semua langkah dalam mengawal penularan Covid-19 dan kini pihak berkuasa fokus kepada kontak rapat bagi kes yang positif atau kluster-kluster.

“Bagi majikan yang mahu memenuhi arahan kerajaan yang mewajibkan semua pekerja asing menjalani saringan bermula 1 Disember ini atau mana-mana individu yang mahu menjalani saringan Covid-19 tidak dapat berbuat demikian di klinik atau hospital kerajaan kerana mereka tidak memenuhi kriteria.

“Jadi mereka boleh temui kami dan jalani saringan dengan RM60 sahaja kemudian yang layak boleh tuntut semula daripada Perkeso,” katanya.

Jelasnya, ujian itu hanya mengambil masa sekitar 30 minit bagi setiap seorang bermula daripada proses pendaftaran sehingga mendapat keputusan dan waktu operasi bermula 9 pagi hingga 9 malam.

Mana-mana pihak yang berminat boleh membuat temujanji melalui aplikasi WhatsApp +60 10-528 6368 atau emel kepada [email protected] atau berkunjung ke CMC Central yang terletak di Taman Connaught, Cheras.

Namun keutamaan akan diberikan kepada mereka yang membuat temujanji terlebih dahulu. – MalaysiaGazette