Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri hari ini memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa pemilikan lesen senjata api akan dipertimbangkang secara berhati-hati dan ketat.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, setiap permohonan lesen sejata api akan diproses secara terperinci bagi memastika ia tidak disalahgunakan kerana alat itu boleh mengancam nyawa.

“Kelulusan senjata api sama ada pistol atau senapang dan senapang patah, secara beli baru atau pindah milik dipertimbangkan dengan berhati-hati dan ketat kerana senjata api merupakan senjata yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Hanya individu yang benar-benar memerlukan dan yang berkelayakan akan diluluskan permohonan lesen,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Parti, Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit).

Mohd Nizar bertanya sama ada kerajaan akan memberikan sedikit kelonggaran syarat permohonan lesen senjata api kepada pemilik tanaman yang mahu memiliki lesen bagi menguruskan musuh tanaman seperti babi dan monyet.

Hamzah juga menjelaskan setiap permohonan adalah tertakluk kepada Akta Senjata Api 1960.

Katanya lagi, KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai garis panduan yang komprehensif bagi menimbang setiap permohonan dan permit senjata api ini.

“Untuk makluman setiap permohonan lesen perlu melalui tapisan yang rapi oleh PDRM. Bagi permohonan senjata api untuk tujuan membasmi pemusnah tananan, permohonan hendaklah memenuhi syarat seperti melepasi tapisan keselamatan dan memiliki fizikal dan tahap kesihatan yang baik.

“Mereka mempunyai tanah pertanian sendiri, menetap di kawasan berkenaan dan mengalami kerosakan tanaman yang serius,” katanya.

Menjawab mengenai lesen yang tidak diluluskan, Hamzah berkata, pemilik kebun yang tidak berjaya untuk memilik lesen senjata api boleh mendapatkan bantuan daripada beberapa pihak bagi menyelesaikan masalah kemusnahan tanaman mereka.

“Bagi pemilik kebun yang tidak memiliki atau tidak dipertimbangkan lesen atau permit senjata api, sekiranya mereka mempunyai masalah ancaman musuh tanaman, saya mencadangkan mereka mendapatkan bantuan daripada pelesen senjata api setempat, jabatan perhilitan ataupun anggota RELA setempat untuk membantu mengatasi masalah ancaman musuh tanaman,” katanya lagi. – MalaysiaGazette