rabies Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disahkan positif rabies meninggal dunia selepas mengalami gejala sakit dan lemah badan selama tiga hari pada 25 November lalu.

Manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang pernah digigit anjing, juga dijangkiti virus rabies dilaporkan stabil.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit yang meninggal dunia itu berusia 58 tahun, dimasukkan ke wad di Hospital Lundu pada 19 November 2020 .

Pesakit juga mengadu sakit tekak dengan kesukaran untuk makan dan minum, kemudian dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak pada 21 November 2020 apabila keadaan kesihatannya bertambah teruk.

Menurut beliau, pesakit pernah mempunyai sejarah digigit oleh anjing liar pada dua tahun lepas semasa berburu di dalam hutan namun tidak mendapatkan rawatan.

”Dengan pertambahan dua kes baharu ini, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Malaysia bagi tahun 2020 adalah lapan kes.

Pertambahan kes ini juga menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 31 Julai 2017 adalah 30 kes dengan 28 kematian,” katanya di sini.

Hanya terdapat dua kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapat rawatan awal.

Dr Noor Hisham berkata, kanak-kanak yang digigit anjing itu telah dimasukkan ke Hospital Bau untuk menerima suntikan immunoglobulin rabies (RIG) dan vaksin anti rabies.

Kes telah discaj dalam keadaan sihat pada 6 November 2020.

Namun begitu, pada 13 November 2020 sehingga 15 November 2020, kanak-kanak ini mengalami demam panas, lemah anggota badan, kurang selera makan, gelisah, hidrofobia dan menunjukkan tingkah laku agresif.
Dia telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 16 November 2020 untuk rawatan lanjut dan dalam keadaan stabil.

Dr Noor Hisham berkata, anjing yang menggigit kanak-kanak ini adalah haiwan peliharaan milik jirannya.
Kanak-kanak ini telah digigit ketika cuba menyelamatkan kucing milik neneknya yang diserang oleh anjing tersebut.

Anjing ini telah ditangkap oleh pihak Majlis Daerah Bau pada 3 November 2020 dan disahkan positif virus rabies pada 18 November lalu. – MalaysiaGazette