Gambar hiasan

HENTIKAN keganasan, wanita disayangi bukan dikasari
Jom kempen ‘Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’ yang dilancarkan pada 1 November hingga 31 Disember 2020.
Sempena Hari Antarabangsa Untuk Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita pada 25 November 2020, Wanita IKRAM Malaysia mengajak anda mengumpulkan minimum 6,000 profil
gambar di facebook dan instagram dalam masa 60 hari dengan templat yang diberikan.

Kempen ini sebagai pembuka bicara saya dalam artikel ini. Saya amat terpanggil untuk berkongsi dengan masyarakat berkaitan isu ini. Kenapa? Kerana pelbagai kes kaunseling saya
tangani berhubung isu keganasan terhadap golongan ini. Perasaan geram berbaur benci serta rasa nak sepak terajang sahaja kepada si pelaku.

Bentuk penganiayaan kepada golongan ini

Perbuatan penganiayaan yang terjadi adalah suatu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan dalam pelbagai cara sama ada secara fizikal atau mental.

Sebenarnya isu keganasan terhadap golongan ini meliputi semua bangsa, agama, pendapatan, kelas dan budaya. Keganasan terhadap wanita boleh diertikan sebagai apa-apa tindakan
keganasan yang berdasarkan gender yang mengakibatkan atau kelihatan boleh mengakibatkan kecedaraan fizikal, seks atau psikologi atau mengakibatkan penderitaan kepada wanita.

Tindakan ini juga meliputi ugutan untuk melakukan perkara tersebut, paksaan atau perbuatan menyekat kebebasan, sama ada berlaku dalam kehidupan persendirian atau awam. Tindakan-
tindakan keganasan yang lain terhadap wanita juga termasuk pelanggaran hak-hak kemanusiaan wanita terutamanya pembunuhan, perogolan terancang, perhambaan seks dan
penghamilan tanpa kerelaan.

Tindakan tersebut juga merangkumi keganasan bagi tujuan politik, pemandulan dan keguguran tanpa rela, paksaan dalam menggunakan alat-alat atau ubat mencegah kehamilan dan
pembunuhan fetus atau kanak-kanak perempuan.

Panggilan telefon lucah dan berunsur ugutan juga dicadangkan sebagai sebahagian daripada gangguan terhadap wanita yang boleh membawa kepada penderaan psikologi, terutamanya
jika panggilan itu dibuat oleh bekas suami atau kekasih.

Perangkaan menunjukkan bahawa kes-kes keganasan terhadap wanita seperti rogol, gangguan seksual, keganasan rumah tangga, ragut dan lain-lain semakin membimbangkan pada masa ini kerana ianya bukan hanya mengakibatkan kecederaan fizikal dan mental kepada mangsa tetapi juga boleh mengakibatkan kematian.

Mengapa wanita menjadi mangsa?

Kaum wanita lebih terdedah kepada keganasan berbanding lelaki walaupun mereka juga ada menjadi mangsa kepada keganasan wanita tetapi nisbahnya terlalu kecil dan kesan tindakan
tersebut terhadap mereka adalah sedikit.

Faktor jantina memainkan peranan yang mana lelaki disifatkan sebagai seorang yang gagah, tidak mudah terpengaruh dengan emosi, pantang dicabar, suka sesuatu yang ganas dan
berkeinginan untuk selalu berada di tahap yang tinggi.

Manakala wanita disifatkan subordinasi kepada lelaki, tidak suka kepada keganasan, lebih beremosi dan lebih mudah mengalah. Gambaran ini sedikit sebanyak mempengaruhi tindakan
keganasan oleh lelaki terhadap wanita.

Biasanya, kumpulan wanita yang kerap menjadi mangsa keganasan adalah wanita dalam kumpulan minoriti, orang asli wanita, pendatang wanita, tebusan wanita, wanita yang hidup
dalam kemiskinan yang terasing daripada pembangunan, wanita dalam tahanan, kanak-kanak perempuan, wanita cacat dan berumur.

Tindakan atau ancaman keganasan yang boleh mengakibatkan ketakutan dalam kehidupannya merupakan satu halangan dalam mencapai kesamarataan antara gender.

Perasaan takut kepada keganasan adalah penghalang yang bersifat kekal untuk wanita mencapai kemajuan yang memberi kesan kepada kesihatan, kedudukan sosial dan ekonomi
wanita serta menyekat kebebasan bergerak.

Dalam kes klien yang saya kendalikan, kebanyakan golongan ini seperti lebih ‘rela’ diperlakukan keganasan terhadap mereka daripada tampil kepada pihak berwajib seperti buat
aduan polis, ke hospital dan tuntutan di makhamah. Alasannya sayangkan pasangan, takut bergelar janda dan kesiankan nasib anak-anak jika tidak ada bapa, katanya.

Kes keganasan meningkat

Di Malaysia, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 2014, sebanyak 2,874 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan, sebanyak 4,123 kes berlaku dalam tahun
2013 dan sebanyak 3,488 kes dilaporkan dalam tahun 2012.

Bagi tempoh yang sama, purata kes keganasan rumah tangga yang mangsanya adalah wanita adalah sebanyak 3,103 kes setahun dalam Hentikan! Keganasan Terhadap Wanita, 2015.
Dimaklumkan media massa kini sempena pandemik COVID-19 dilaporkan kecenderungan
keganasan kepada golongan ini dari Mac 2020 hingga kini semakin bertambah.

Keganasan rumah tangga menyebabkan kesan trauma berpanjangan kepada mangsanya. Ada mangsa yang mengalami tekanan dan trauma jangka panjang dan kesan yang mendalam
terutamanya kepada kanak-kanak.

Berdasarkan kepada Handbook for National Action Plans on Violence Against Women (2012) sahaja, kebanyakan keganasan terhadap wanita dilakukan oleh orang yang dikenali wanita
tersebut dan kebanyakan kes tidak dilaporkan kerana masalah dalaman keluarga atau masalah peribadi.

Keganasan terhadap wanita yang paling kerap adalah keganasan yang dilakukan oleh pasangan wanita yang merangkumi suami, bekas suami atau teman lelaki.

Kategori-kategori keganasan wanita

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, UNICEF 2010, menghalang keperluan manusia seperti makan, minum, tidur dan tempat perlindungan adalah merupakan salah satu bentuk
penderaan fizikal.

Penderaan fizikal membawa maksud apabila wanita yang dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan tersebut boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh itu akibat
kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh itu (Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) ).

Ia juga boleh diertikan dengan keganasan secara fizikal, tindakan ini boleh menyebabkan kecederaan otak, lebam yang teruk, kecacatan anggota tubuh, retak, patah tulang, lecur atau
terbakar, dicucuh dengan puntung rokok.

Manakala, penderaan dari segi psikologi dan emosi seperti ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah wanita boleh meninggalkan kesan buruk sama seperti penderaan fizikal kerana ianya boleh membahayakan nilai harga diri dan perasaan wanita dan keupayaan beliau mengawal kehidupan sendiri.

Penderaan emosi pula kategori penderaan yang sukar dikesan dengan mata kasar. Ia tidak berlaku seperti kecederaan fizikal yang boleh dilihat dengan mata kasar. Ramai tidak sedar
penderaan emosi meningggalkan kesan lebih mendalam berpanjangan dan membahayakan mangsa kerana memendam perasaan tanpa meluahkan kepada orang lain.

Selain itu, penderaan seksual adalah seperti memaksa melakukan atau melihat sesuatu berbentuk seksual tanpa kemahuan wanita tersebut atau menyakiti wanita ketika melakukan hubungan. Tambahan lagi, penderaan seksual adalah penyalahgunaan kuasa, tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan hingga menyebabkan trauma teruk dalam hidup wanita.

Menurut statistik PDRM, sebanyak 22,234 kes penderaan seksual telah direkod bagi tempoh 2010 hingga Mei 2017, iaitu purata 3,176 kes setahun. Jumlah itu mewakili empat kategori
penderaan seksual iaitu rogol (13,272 kes) diikuti cabul (6,014 kes), sumbang mahram (1,796 kes) dan perbuatan luar tabii (1,152 kes).
Seterusnya, penderaan sosial pula sering berlaku di dalam rumah di mana wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan dari mendapat
sokongan luar.

Terdapat juga penderaan dalam beragama iaitu pasangan (suami) memaksa isteri untuk keluar daripada agama Islam, melarang isteri beribadat dan menutup aurat, melacurkan isteri,
memaksa isteri minum arak dan membawa isteri menyertai ajaran sesat. Gangguan seksual di tempat kerja juga termasuk dalam isu jenayah terhadap wanita terutamanya di tempat kerja.

Kementerian juga telah memperkenalkan program ‘Smart Start’ sejak 2009 bagi memastikan mesej kepada pasangan yang ingin berkahwin atau yang sudah berkahwin kurang daripada
lima tahun untuk mendapat pengetahuan asas dalam institusi perkahwinan dan kekeluargaan (JKM, 2012).

Walau bagaimanapun program yang dijalankan tersebut tidak mengurangkan masalah keruntuhan rumah tangga. Justeru itu, masalah keganasan ini dapat diatasi jika agensi-agensi
yang menawarkan perkhidmatan kaunseling diperbanyakkan dan diperkukuhkan terutama di kawasan luar bandar.

Kesan keganasan terhadap wanita

Salah satu kesan yang dikenal pasti ialah wanita akan
mengalami Topophobia. Topophobia dinilai mempunyai kaitan dengan perasaan halus wanita. Ia dibina daripada perspektif yang mempunyai kekuatan prejudis. Prejudis kaum wanita
dicerminkan melalui tabiat pergerakan mereka di dalam ruang.

Wanita lebih cenderung untuk menyekat tingkah laku mereka (dalam aspek keruangan) kerana rasa takut. Secara tidak langsung, kumpulan wanita menghasilkan dominasi ruang oleh lelaki dan seterusnya mewujudkan penguasaan berbentuk heteroseksual.

Heteroseksual cenderung tertarik dari segi seks kepada orang yang berlainan jantina dengannya. Ketakutan wanita sinonim dengan lokasi jenayah yang melibatkan serangan
ganas dan gangguan seksual.

Kebimbangan ini boleh diburukkan lagi dengan ciri-ciri persekitaran yang terpencil, sunyi, bersemak samun dan kegelapan pada waktu malam, iaitu satu masa apabila jalan-jalan yang sering dibayangi menjadi lokasi persembunyian penjenayah. Sehubungan itu, ketakutan mereka diterjemahkan dengan tindakan menjauhkan diri daripada lokasi dan masa berpotensi untuk diserang.

Simptom paling utama untuk individu didiagnosis sebagai pesakit gangguan kemurungan utama ialah apabila individu berfikir untuk mati atau individu pernah cuba untuk bunuh diri atau individu
pernah merancang untuk bunuh diri secara berulang-ulang kali.
Simptom-simptom tersebut jelas apabila individu berharap untuk tidak bangun lagi pada setiap pagi dan beranggapan kematian adalah lebih baik untuk dirinya dan orang lain.

Kecenderungan untuk individu membunuh diri adalah tinggi sekiranya individu menujukkan perubahan dalam beberapa perkara. Misalnya, individu memiliki keperluan atau alat untuk
bunuh diri seperti tali mahupun senjata.

Walau bagaimanapun, simptom-simptom gangguan yang dialami oleh individu perlu disertai dengan ciri-ciri klinikal serta kemerosotan individu dalam aktiviti kehidupan sehingga
mengganggu aspek sosial, pekerjaan dan lain-lain kefungsian individu (APA, 2013).

Langkah membanteras keganasan terhadap wanita

Membanteras keganasan terhadap wanita bukanlah satu tugas yang mudah. Ia tidak hanya terletak pada bahu kerajaan sahaja tetapi semua pihak haruslah terut sama melibatkan diri
untuk menangani masalah ini.

Malah, pendekatan secara holistik wajar diambil oleh semua pihak termasuklah pihak kerajaan, NGO, swasta dan anggota masyarakat di samping perlunya usaha sama daripada kaum lelaki untuk mengatasi masalah ini. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) sendiri, selaku NGO yang berdaftar di Malaysia, tidak ketinggalan membantu golongan ini.

Pendekatan yang diambil juga haruslah merupakan pendekatan yang holistik, meliputi aspek pencegahan, intervensi dan pemulihan. Usaha bersepadu perlu diambil bagi meningkatkan
kesedaran masyarakat khususnya wanita terhadap tanggungjawab dalam menangani isu keganasan terhadap wanita.

Program kesedaran dan latihan berkaitan keganasan terhadap wanita hendaklah melibatkan setiap lapisan masyarakat termasuk kaum lelaki. Perkhidmatan sokongan sosial perlu ditingkatkan terutama aspek pencegahan, perlindungan dan pemulihan. Hal ini kerana, peningkatan jumlah wanita yang dianiaya terus meningkat saban tahun walaupun kadar keganasan yang dilaporkan di Malaysia.

Selain itu, dari segi undang-undang pula, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama agensi kerajaan dan NGO terlibat dan pihak kerajaan
sedang membuat kajian semula ke atas Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah bagi meningkatkan hukuman ke atas pesalah yang melakukan kesalahan berkaitan jenayah seksual.

Pelbagai usaha kementerian dan sukarelawan melaksanakan program-program kesedaran berkaitan dengan ketidakadilan terhadap wanita, seminar menangani keganasan dan program
literasi undang-undang untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai peranan mereka bagi membanteras keganasan terhadap wanita.
Dengan cara ini, masalah jenayah dan keganasan terhadap wanita diharap dapat dikurangkan
dengan adanya semangat bersatu padu daripada semua pihak.

Kesimpulan

Masalah jenayah terhadap wanita di Malaysia tidak harus di pandang remeh lebih-lebih lagi wanita merupakan sumber kelestarian dan pembangunan negara. Hal ini kerana, kes jenayah
terhadap wanita memberi kesan yang buruk terhadap mangsa terutamanya dari segi mental dan fizikal.

Mereka juga berhak untuk maju dan tidak hanya kekal berada pada takuk yang sama untuk membentuk kelestarian dalam diri dengan adanya penambahbaikan, berdaya saing serta
berupaya membangunkan diri.

Peranan semua pihak adalah sangat penting untuk membantu menangani masalah jenayah terhadap wanita yang semakin serius berlaku di negara ini. Maka, semua lapisan masyarakat
bertanggungjawab untuk menangani masalah jenayah dan keganasan terhadap wanita daripada berterusan berlaku.

Dr Samsiah Jayos
Pensyarah Kaunseling UNIMAS dan Kaunselor Berlesen
Aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia