Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas selepas dipercayai menjadi sindiket penipuan pelaburan Essencefx (Forex) pada Ops Nuri di sekitar Bandar Puteri Puchong, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 DISEMBER 2020.

SERDANG – Helah sebuah syarikat melantik seorang tenaga pengajar wanita dari China untuk mengajar dan melatih pekerja tempatan dalam kegiatan penipuan pelaburan mata wang akhirnya terbongkar.

Walaupun syarikat berkenaan mendaftarkan perniagaannya sebagai telepemasaran di atas Sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) namun modus operandi mereka sebenarnya melakukan pelaburan forex secara haram.

Wanita dari China itu bertugas ‘merekrut’ pekerja syarikat berkenaan memperdaya mangsa dari China untuk menyertai pelaburan palsu.

Mereka beroperasi di sebuah bangunan elit korporat kewangan di Bandar Puteri Puchong.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang diketuai Asisten Superintendan Norakmal Rizal dan Ketua BSJ Komersial, Haryanti Che Mat melakukan serbuan Op Nuri di pejabat syarikat itu sekitar jam 9 malam tadi.

Katanya, siasatan awal syarikat itu beroperasi selama tiga tahun dan orang ramai menyalurkan aduan mengesyaki wujud unsur judi dalam talian.

“Pasukan kami terlibat risikan setelah aduan mendakwa terdapat jumlah pekerja yang ramai memasuki premis sepanjang tempoh tersebut.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah (kanan) bertanyakan sesuatu dengan seorang pekerja yang dipercayai menjadi anggota sindiket penipuan pelaburan Essencefx (Forex) pada Ops Nuri di sekitar Bandar Puteri Puchong, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 DISEMBER 2020.

“Semasa serbuan, terdapat 23 lelaki dan 15 wanita tempatan selain seorang wanita warga China yang berumur antara 20 hingga 37 tahun berada dalam premis itu sebelum mereka leka melayan komputer riba dan komputer meja selain menggunakan telefon bimbit.

“Hasilnya kami berjaya merampas 39 buah komputer , 23 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM30,800 yang masih disiasat sumber perolehannya,” kata beliau kepada pemberita selepas serbuan itu di lokasi berkenaan malam tadi.

Tambah Razali, semakan mendapati syarikat konsultan itu berdaftar secara sah dengan SSM sebagai syarikat tele pemasaran dan menyewa premis berkenaan dengan kadar RM24,000 sebulan.

Menurutnya, pemeriksaan awal polis mendapati seorang suspek lelaki warga tempatan yang merupakan pengarah lantikan berperanan sebagai operator yang membuat panggilan kepada pelanggan dari China bagi menyertai pelaburan disyaki forex menggunakan aplikasi sosial WeChat.

“Kami mendapati lelaki berkenaan beserta seorang lagi wanita tempatan mengaku bahawa mereka terlibat kegiatan pelaburan atau dikenali sebagai forex dengan cara aplikasi WeChat berhubung dengan pelanggan semuanya di China.

Sebahagian suspek membawa peralatan yang digunakan selepas dipercayai menjadi sindiket penipuan pelaburan Essencefx (Forex) pada Ops Nuri di sekitar Bandar Puteri Puchong, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 DISEMBER 2020.

“Mana-mana yang tertarik dengan pelaburan akan melayari laman WeChat dan menggunakan salah seorang wanita China sebagai pengajar membimbing dan melatih pekerjanya kaedah melakukan forex dan menarik pelanggan China.

“Apabila ditanya adakah dia faham bahawa untuk menjalankan tugas menarik pelabur ini perlu mendapatkan surat kelulusan dari Bank Negara, mereka mengaku faham dan tiada surat kebenaran (BNM) itu mengikut siasatan awal ke atas mereka di tempat kejadian,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, ia beroperasi bermula 8 pagi hingga 10 malam dan semua pekerja digaji dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM6,000 seorang berdasarkan pangkat dan komisen.

Selain itu jelas beliau, soal siasat polis tiada seorang pun dalam kalangan pekerja itu mahu mengaku atau mendedahkan hasil perolehan wang RM30,800 itu selain keuntungan setakat ini hasil pelabur China dalam pelaburan forex berkenaan.

“Kesemua ditahan dan dibawa ke IPD Serdang dan semua komputer berkenaan akan dirujuk kepada pasukan Forensik PDRM untuk mengakstrak maklumat dan data-data bagi membantu siasatan dan menjejaki maklumat yang boleh membantu kes,” katanya.

Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 selain dikenakan kompaun kerana tiada penjarakan fizikal semasa berada dalam premis di bawah peraturan PKPB mebgikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam kawasan Tempatan Jangkitan) No8 (2020).

Justeru wanita warga China itu mempunyai pasport perjalanan yang sah selain pas kerja namun akan dirujuk dengan Imigresen untuk kesahihannya.

“Kami juga akan menyiasat dan cuba menjejaki dalang utama yang berada di sebalik kegiatan berkenaan menggaji dan menggerakkan kesemua pekerja ini untuk pelaburan haram tersebut,” ujar Razali lagi.- MalaysiaGazette