Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijangka mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Shah di istana negeri petang ini.

Beliau dikatakan berbuat demikian untuk memaklumkan kepada sultan mengenai situasi yang berlaku pada permulaan sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak (Belanjawan 2021) pagi tadi.

Pada awal persidangan itu, ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim mengemukakan usul undi percaya kepada Menteri Besar dengan 59 ADUN telah membuat undi menerusi undian belah bahagi.

Dalam undian itu, Dewan Negeri menerima keputusan 48 tidak bersetuju, 10 bersetuju dan seorang berkecuali.

Dengan keputusan itu, secara automatik Ahmad Faizal hilang kedudukan sebagai Menteri Besar.

Berikutan itu, sidang DUN yang sepatutnya bersidang sehingga 11 Disember ini ditangguhkan sehingga Rabu 9 Disember bagi membolehkan Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengadap Sultan Perak untuk memaklumkan keputusan itu. – MalaysiaGazette