Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

MELAKA – Gara-gara tidak mahu membayar denda bagi membuat kad pengenalan baharu, sepasang suami isteri, kedua-duanya berumur 27 tahun sanggup membuat laporan palsu kononnya beg diragut dan rugi RM3,000 dalam kejadian di Kota Syahbandar di sini, 29 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata siasatan awal mendapati insiden ragut yang didakwa berlaku kira-kira 9.30 malam itu sebenarnya dirancang oleh isteri pengadu.

Beliau berkata dalam laporan polis yang dibuat oleh suaminya, lelaki itu yang bekerja sebagai jurujual di kedai telefon bimbit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut kemudian mendapati lelaki berkenaan membuat laporan palsu bagi mengelak dikenakan denda membuat kad pengenalan baharu dan kejadian diragut adalah satu rekaan mereka.

“Beg sandang yang didakwa diragut sebenarnya tercicir dan kedua-dua mereka ditahan ketika memberi keterangan pada 1 Dis lepas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Afzanizar berkata lelaki tersebut ditahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu manakala isterinya yang bekerja sebagai kerani akaun ditahan di bawah Seksyen 182 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan bersubahat.

Beliau berkata orang ramai diingatkan tidak membuat laporan palsu bagi kepentingan peribadi atau mempermainkan laporan polis yang dibuat kerana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 59 laporan palsu kes ragut atau samun diterima Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dalam tempoh Januari hingga November lepas.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 28 kes telah berjaya diselesaikan dan telah dituduh di mahkamah.

— BERNAMA