Operasi pematuhan yang diketuai melakukan pemeriksaan di kedai makan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal antara kes paling banyak direkodkan polis dalam Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 135 individu ditahan atas kesalahan itu, selain mengunjungi pusat hiburan (113 kes), tidak memakai pelitup muka (64 kes) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59 kes).

Kata beliau, daripada semua kes itu, 412 individu ditahan, dengan 402 dikenakan kompaun dan sembilan lagi direman.

Semalam sahaja, katanya, polis menerusi Task Force Operasi Pematuhan telah membuat sebanyak 56,090 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP Pemulihan.

Ismail Sabri Yaakob

Sebanyak 2,932 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 13,243 anggota telah membuat pemantauan di 5,126 pasar raya, 4,644 restoran serta 1,241 penjaja, 1,276 kilang, 3,313 bank dan 571 pejabat kerajaan.

Juga dipantau, sebanyak 1,424 terminal pengangkutan darat, 228 terminal pengangkutan air serta 98 terminal pengangkutan udara.

Semalam juga, seramai 51 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 11 tekong yang terlibat dengan menyeludup masuk ke sempadan negara telah ditangkap anggota pasukan keselamatan yang bertugas dalam Operasi Benteng.

“Mereka ditahan di sempadan negara dan di sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan wabak Covid-19.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai barang keperluan asas, Ismail Sabri berkata, semalam Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 686 premis perniagaan termasuk peruncit (488), pemborong (166) dan pengilang (32).

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

“Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga telah melakukan 842 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 841 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan, manakala satu premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya. – MalaysiaGazette