Gambar Hiasan. foto MOHD ADZLAN, 19 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Terdapat empat kluster baharu direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini

Kluster berkenaan adalah Kluster Batu Tiga di Tawau, Sabah, Kluster Jalan Domis, Kluster Andalas dan Tapak Bina Bulatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan itu sehingga 5 Disember 2020, terdapat sebanyak 385 kluster.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 49 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu
tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Bulatan (162 kes),
Kluster Ria-30 (51 kes) dan Kluster Batu Tujuh (39 kes)

Bagi Kluster Batu Tiga, sejumlah 28 individu telah disaring, yang mana 28 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Sehingga 5 Disember 2020, sejumlah 132 individu telah disaring bagi Kluster Jalan Domis, yang mana 12 kes telah
dikesan positif Covid-19.

“Seterusnya adalah Kluster Andalas, melibatkan daerah Klang di negeri Selangor. Kes indeks (iaitu kes ke-68771) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 3 Disember 2020 hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 5 Disember 2020, sejumlah 43 individu telah disaring, yang mana 16 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

KKM juga mengesan 163 kes positif daripada 319 yang disaring dari Kluster Tapak Bina Bulatan di Cheras, Titiwangsa dan Lembah Pantai.

Dr Noor Hisham dalam masa yang sama turut mengumumkan lima kluster yang  tamat pada hari ini iaitu Kluster Fores, Kluster Aero, Kluster Sungei Way, Kluster Baki dan Kluster Seladah.

Sehingga kini jumlah kluster yang aktif dan dipantau oleh KKM  sebanyak 187.- MalaysiaGazette