LONDON – Ratu Elizabeth II bakal menjadi ketua negara terawal di dunia yang akan menerima vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dalam masa beberapa minggu lagi.
Ratu berusia 94 tahun dan suaminya berusia 99 tahun itu sedang menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan awal atas faktor usia mereka dan tidak akan menerima layanan istimewa, lapor media Mail pada Ahad.
Ia susulan badan pengawal selia United Kingdom (UK) membenarkan kelulusan darurat dan penggunaannya yang pertama di dunia bermula minggu depan, demikian menurut laporan pada lewat Sabtu.
Akhbar itu berkata, kerabat diraja tertua di Britain itu akan mendedahkan mereka sudah mengambil suntikan ‘untuk menggalakkan lebih ramai orang mengambil suntikan penting itu’, ketika golongan anti-vaksin membangkitkan kebimbangan pada vaksin itu dan boleh membantutkan hasrat pengambilannya.
UK memberi kelulusan kepada vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dengan pegawai kesihatan akan menggunakan kriteria seperti usia dan kerentanan bagi memutuskan mengenai keutamaan orang yang menerimanya.
Warga emas di rumah jagaan dan penjaga mereka adalah golongan pertama yang akan mendapat suntikan itu, diikuti mereka yang berusia 80 tahun ke atas dan barisan hadapan staf kesihatan dan penjagaan.
Golongan berusia lain dan mereka yang sangat terdedah secara klinikal akan menjadi penerima seterusnya, selain diberikan mengikut keutamaan berdasarkan usia.
Istana Buckingham setakat ini tidak memberi maklum balas bagi mengulas laporan itu.
Daily Mirror turut melaporkan sejumlah tokoh berprofil tinggi di Britain menyatakan komitmen secara terbuka untuk mendapatkan vaksin.
Britain membuat tempahan awal sebanyak 40 juta dos vaksin dan akan menerima kumpulan awal berjumlah 800,000 dos untuk mula digunakan minggu depan. – MalaysiaGazette