Reezal Merican Naina Merican

BUKIT MERTAJAM – Orang ramai terutamanya pengguna media sosial, diminta untuk menjaga sensitiviti mengenai nasib yang menimpa pemain skuad bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) Muhammad Syafiq Ahmad dan keluarganya, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pengguna media sosial diminta supaya tidak menyebarkan gambar mahupun video mengenai kemalangan Muhammad Syafiq, yang juga merupakan bintang bola sepak kebangsaan dan menyeru orang ramai untuk memberi ruang kepada mangsa dan keluarga, yang kini sedang melalui detik sukar.

“Saya dapati ada (dalam kalangan pengguna media sosial) yang telah menyebarkan gambar kemalangan mangsa dan saya fikir sebaiknya kita menghormati mereka.

“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya ingin mengingatkan dan minta semua untuk menjaga sensitiviti, sebab perkara yang membabitkan kehilangan ini bukan suatu benda yang mudah,” katanya kepada pemberita selepas melawat bekas pemain takraw kebangsaan Muhammad Kamal Ishak di kediamannya dekat Kubang Semang di sini, hari ini.

Reezal Merican juga turut menyeru pihak media agar tidak mensensasikan laporan mengenai insiden yang menimpa Muhammad Syafiq secara keterlaluan, sebaliknya berdoa agar mangsa dan keluarganya tabah menghadapi ujian yang dihadapi.

“Jadi, memadailah kalau kita berdoa supaya (Muhammad) Syafiq dapat melalui fasa yang sukar ini dengan tabah, dan diberikan kekuataan dan jika ada kesempatan saya akan melawat (beliau dan keluarga) sebelum pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap berhampiran Plaza Tol Jawi itu, bayi lelaki, ibu mertua serta seorang pembantu rumah Muhammad Syafiq terkorban, manakala dirinya, isteri serta seorang lagi anak mereka cedera.

Terdahulu, Reezal Merican menyerahkan replika cek sumbangan insuran Majlis Sukan Negara (MSN) berjumlah RM104,500 kepada Muhammad Kamal.

Sementara itu, Muhammad Kamal berkata kesihatan dirinya bertambah baik selain sedang menanti tarikh bagi majlis konvokesyen di Universiti Putra Malaysia (UPM), serta turut menunggu keputusan panggilan temuduga.

Beliau yang merupakan tonggak skuad Black Panther Pulau Pinang itu sebelum ini terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kuala Lumpur, Februari tahun lepas, kini terpaksa menggunakan kerusi roda berikutan mengalami kecederaan pada bahagian tulang belakang dan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, termasuk mengeluarkan produk minuman dan pencetakan baju.

Turut hadir pada majlis penyerahan replika cek tersebut ialah Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail dan Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said.- BERNAMA