KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran tidak perlu terlajak celupar dan ‘membungkuskan’ kemarahannya kepada Pas sehingga menuduh parti itu mempertahankan pengganas di luar negara.
Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Khairil Nizam Khirudin juga mencabar Vigneswaran agar menyatakan pihak mana yang dilabelkan sebagai pengganas itu.
“Jika beliau (Vigneswaran) yakin benar dan anak jantan sebagai seorang ahli politik serta bermaruah, sila nyatakan pihak yang dilabelkan sebagai pengganas itu.
“Sehingga hari ini, Pas tidak pernah menyatakan sokongan atau simpati kepada mana-mana kumpulan pengganas biarpun dalam kalangan orang Islam dan bertegas menolak sebarang bentuk keganasan ke atas mana-mana individu.
“Pas komited membawa perdamaian, perpaduan dan keharmonian menerusi saling menghormati serta menjunjung undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan isu perobohan kuil Hindu atas tanah yang diwartakan sebagai kawasan lapang di Taman Bersatu Kuala Kedah adalah berlandaskan undang-undang.
Menurut Muhammad Sanusi, perobohan kuil itu bukan isu perkauman, agama atau diskriminasi malah pihaknya kesal susulan ada pihak berkepentingan cuba mengapi-apikan isu berkenaan.
Tata letak setiap binaan struktur di semua tempat sepatutnya berada pada tempatnya secara sah dan terkawal, menurut undang-undang dan pentadbiran bawah agensi kerajaan.
Khairil Nizam juga berkata, isu kuil di Kedah adalah perkara yang sudah lama dikompromikan dan tindakan yang dibuat telah melalui budi bicara oleh pihak kerajaan sebelum ini.
“Mengapa MIC selaku pihak yang mengaku berpengaruh dalam kalangan kaum India dan penganut Hindu tidak bertindak sewajarnya untuk memimpin penyelesaian isu sekian lama itu?
“Di mana paksi undang-undang didaulatkan sekiranya MIC adalah pertubuhan sah dan dianggotai warganegara tidak patuh kepada peraturan sedia ada?” soalnya.
Sebaliknya Khairil Nizam menyifatkan mana-mana pihak yang enggan mematuhi undang-undang lebih wajar dilabelkan sebagai pengganas dan pelampau agama.
“Mengapa MIC mahu menuntut suatu keistimewaan yang khas bebas daripada perundangan berkaitan? Nescaya ia adalah tidak wajar dan emosi, sedangkan semua urusan agama di mana-mana bahagian dunia seiringan dengan tadbir urus negaranya.
“Hakikatnya mereka yang enggan tunduk kepada undang-undang itulah lebih wajar dilabel pengganas dan melampaui agama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette