Operasi sanitasi dilakukan setiap hari sejak pelaksanaan PKP sehingga kini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sehingga kini telah melakukan sebanyak 12,389 operasi sanitasi melibatkan 137 zon di seluruh negara sejak 30 Mac lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah operasi itu, sebanyak 14,374 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,892 pusat perniagaan, 1,674 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,848 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,603 bangunan kerajaan.

Kata beliau, semalam, sebanyak 48 operasi sanitasi meliputi 12 Zon Merah, lima Zon Jingga, enam Zon Kuning dan empat Zon Hijau di 12 negeri telah selesai.

Antara negeri yang terlibat dalam operasi itu ialah Johor, Sabah, Melaka, Kedah, Sarawak, Pahang, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ismail Sabri Yaakob

Sementara itu, bagi urusan kuarantin wajib pula, kata Ismail Sabri, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 83,737 individu telah pulang ke tanah air.

Menurutnya, semua mereka melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 76 hotel serta 18 Institut Latihan Awam (ILA) dan Institut Pengajian Swasta di beberapa negeri.

“Dari jumlah itu, 12,097 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 509 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 71,131 telah dibenarkan pulang.

“Mereka pulang dari 36 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives dan Oman,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Mengenai operasi pematuhan di tapak binaan, Ismail Sabri menyatakan, dari 20 April lalu sehingga semalam, sebanyak 13,820 jumlah pemeriksaan dilakukan oleh anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Kata beliau, pemeriksaan melibatkan 7,936 tapak binaan di seluruh negara.

“Semalam juga, anggota penguat kuasa telah membuat pemeriksaan di 18 tapak binaan di seluruh negara. Dari jumlah ini, 17 tapak binaan mematuhi SOP ditetapkan, manakala satu tapak binaan diberi amaran kerana tidak patuh SOP,” katanya.

Beliau juga turut menjelaskan, operasi pematuhan semalam telah menahan 182 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dari jumlah itu, kata beliau, 181 individu telah dikompaun, manakala seorang direman.

Katanya, dalam Operasi Benteng pula seramai 31 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan pasukan keselamatan merampas tiga kenderaan darat serta satu bot atau kapal. – MalaysiaGazette