MGF17012013_Sultan Nazrin
Sultan Nazrin Shah

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menitahkan wakil daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan PAS menghadap baginda hari ini berhubung kemelut politik negeri itu.

Ahli Dewan Negara Perak Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata pihak istana sedang menunggu wakil-wakil daripada kedua-dua parti untuk menghadap Sultan Nazrin pada bila-bila masa bagi mendengar pendirian mereka tentang penubuhan kerajaan negeri yang baharu.

“Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak Datuk Saarani Mohamad telah memaklumkan status terkini pagi tadi dan status terkini yang dipersembahkan (kepada Sultan Perak) memang perlu meyakinkan.

“Dengan itu, selanjutnya baginda telah menitahkan wakil daripada Bersatu dan PAS untuk menghadap pada bila-bila masa hari ini,” katanya.

Mengenai istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak, Mohd Annuar berkata majlis itu hanya akan dilaksanakan setelah Sultan Nazrin yakin akan majoriti mudah yang diperoleh calon bagi menubuhkan kerajaan.

Terdahulu, Ahmad Zahid ketika ditemui media selepas menghadap Sultan Nazrin berkata pihaknya telah mempersembahkan nama calon daripada parti itu untuk jawatan Menteri Besar Perak.

Tanpa menyatakan siapa calon itu, beliau berkata individu itu diyakini bukan sahaja mempunyai sokongan majoriti, malah lebih daripada itu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mempunyai 59 ADUN dan majoriti mudah adalah sebanyak 30.

Selain nama Saarani, turut disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar ke-14 itu ialah Datuk Shahrul Zaman Yahya yang juga ADUN Rungkup.

Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan Sabtu lepas setelah gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar semasa Persidangan DUN sehari sebelumnya.

Menerusi usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baharu), Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya memperoleh 10 sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

— BERNAMA