Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 1,355 tahanan di Depoh Tahanan Imigresen (DPI) Jabatan Imigresen Malaysia disahkan positif Covid-19 setakat semalam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said yang memaklumkan perkara itu di Dewan Rakyat berkata, berdasarkan statistik sejak 29 Ogos lalu, DPI Bukit Jalil mencatatkan jumlah paling ramai positif wabak tersebut iaitu 650 orang.

“Dalam tempoh sama juga, DPI Langkap mencatatkan jumlah tahanan positif Covid-19 seramai 481 orang diikuti DPI Semenyih (127), DPI KLIA (77) dan baki 20 tahanan lagi di DPI Belantik, Putrajaya, Lenggeng dan Juru.

“Bagi statistik banduan di penjara pula, daripada 60,583 orang yang disaring bermula 29 Ogos hingga semalam, seramai 829 disahkan positif,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (PH-Gopeng), Dr Lee Boon Chye yang meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan jumlah pesakit Covid-19 dalam kalangan penghuni penjara dan tahanan imigresen.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, keputusan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah sejak Isnin lalu dibuat berdasarkan kajian dalam mengimbangi keperluan kesihatan dan ekonomi.

Katanya, walaupun kelonggaran diberikan berhubung perkara itu, langkah pencegahan bagi mengekang penularan Covid-19 tetap dilaksanakan secara berterusan.

“Kerajaan sentiasa berusaha meredakan penularan Covid-19 dan beberapa langkah diambil bagi mengimbangi keperluan menjaga kesihatan dan ekonomi, antaranya kebenaran merentas negeri dan daerah.

“Walaupun kes Covid-19 dilihat meningkat, keputusan ini buat berdasarkan kajian yang dilakukan,” ujarnya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (Warisan-Kalabakan), Ma’mun Sulaiman yang bertanyakan sama ada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju dengan kelonggaran prosedur operasi standard kebenaran merentas negeri dan daerah walaupun peningkatan kes Covid-19 masih membimbangkan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Banyak bijak setiap pati dapat sebuah bilik untuk quarantine ditanggung imigresen bayar $90 ringgit setiap hari untuk setiap pati. Bilik hotel pun dalam $50 riggit sehari jer. Patut sangatlah pati semakin berleluasa bersepah-sepah cari makan haram jadah tanpa bayar cukai, kan?

Comments are closed.