Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 kompaun bernilai RM750,000 pada 4 Disember lalu kepada lima syarikat telekomunikasi atas kesalahan pendaftaran kad sim prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna.

Tindakan tersebut diambil berdasarkan kepada audit yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Pahang, Kelantan dan Terengganu sekitar bulan Ogos dan Oktober tahun lepas.

Dengan pengeluaran kompaun terbaru tersebut, ini bermakna jumlah kompaun yang dikeluarkan sepanjang tahun 2020 adalah sebanyak 70 kompaun bernilai RM3.45 juta.

Jumlah berkenaan adalah 16% lebih tinggi berbanding dengan 58 kompaun bernilai RM2.9 juta yang dikeluarkan pada tahun 2019 bagi kesalahan yang sama.

SKMM berkata, kesalahan pendaftaran kad sim prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna adalah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mendahului senarai penerima jumlah kompaun tertinggi ialah syarikat Digi Telecommunications Sdn Bhd yang telah ditawarkan kompaun paling tinggi iaitu lima kompaun bernilai RM250,000, diikuti Maxis Broadband Sdn Bhd sebanyak empat kompaun bernilai RM200,000.

Manakala U Mobile Sdn Bhd pula ditawarkan tiga kompaun bernilai RM150,000, Tune Talk Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd masing-masing ditawarkan dua kompaun bernilai RM100,000 dan satu kompaun bernilai RM50,000.

Menurut SKMM, tindakan yang diambil ini menunjukkan usaha tegas yang berterusan
oleh MCMC dalam melindungi kepentingan pengguna daripada kes-kes
penipuan atau scam secara dalam talian yang semakin meningkat.- MalaysiaGazette