Bantahan penduduk di Srinagar terhadap Presiden Perancis Emmanuel Macron yang mempertahankan karikatur Nabi Muhammad.

TANGGAL 10 Disember setiap tahun, seluruh dunia akan menyambut Hari Hak Asasi Manusia. Hari ini disambut untuk memperingati penerimaan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang dibuat pada 10 Disember 1948 oleh pihak pertubuhan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB). Hak Asasi Manusia Sejagat merupakan dokumen pertama
yang diterima di peringkat antarabangsa untuk menggariskan dan melindungi hak asasi manusia merentasi sempadan negara.

Walaupun konsep hak asasi manusia mula mendapat perhatian meluas selepas tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945 yang lalu, setiap orang harus menerima hakikat bahawa konsep hak asasi manusia tidak wujud dalam kehidupan seharian secara mutlak. Sekiranya konsep hak asasi manusia ini diberikan kepada kita semua, tiada ada beza antara kita semua dengan haiwan liar yang tinggal di dalam hutan rimba. Setiap
manusia diberikan hak dan kebebasan dan ini termasuklah hak dan kebebasan mereka untuk bersuara serta meluahkan pendapat.

Namun, hak dan kebebasan untuk bersuara serta meluahkan pendapat ini juga ada had dan batasannya. Tidak semua benda harus atau boleh diluahkan dengan sesuka hati. Oleh itu, penting untuk setiap orang mengunakan akal mereka untuk berfikir sebelum mereka ingin bersuara  atau meluahkan pendapat mereka supaya ia tidak menguris
hati dan perasaan orang sekeliling serta mengundang tindak balas yang tidak diingini.

Kepentingan untuk menetapkan had dan batasan terhadap hak dan kebebasan ini menjadi lebih penting sekiranya kita berada di dalam sebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai budaya dan agama dimana konflik dan salah faham mudah timbul. Baru-baru ini, kita telah didedahkan dengan isu penerbitan karikatur yang memaparkan Nabi Muhammad SAW di  Perancis. Isu penerbitan karikatur ini telah membangkit
kemarahan orang ramai khususnya dalam kalangan umat Islam yang berada di Perancis dan di dunia.

Penerbitan karikatur Nabi Muhammad SAW ini bukan satu isu yang baru berlaku. Ia telah berlaku buat sekian lama dalam kalangan negara-negara Barat. Persoalan harus dilontarkan kepada masyarakat Barat termasuk di Perancis, kenapa mereka berterusan ingin menerbitkan atau mengunakan karikatur berkenaan walaupun mereka ketahui dengan jelas ia boleh menguris hati dan perasaan umat Islam diserata dunia? Sudah pasti
jawapan yang diberikan oleh mereka adalah penerbitan dan pengunaan karikatur berkenaan adalah sebahagian daripada proses hak asasi dan kebebasan mereka untuk
bersuara serta meluahkan pendapat.

Masyarakat Barat harus berhenti daripada menjadi hipokrit dan mengunakan alasan hak asasi dan kebebasan bersuara serta meluahkan pendapat ini sebagai perisai untuk mereka melakukan apa sahaja yang mereka rasakan betul. Sekiranya masyarakat
Barat benar-benar menghargai hak asasi dan kebebasan bersuara serta meluahkan pendapat, mereka harus juga menghormati dan membenarkan semua pihak untuk
bersuara dan meluahkan pendapat yang bercanggah dengan kepentingan kaum Yahudi dan Israel.

Kenapa masyarakat Barat tidak benarkan orang ramai untuk bercakap dan meluahkan pendapat mengenai apa-apa sahaja yang bercanggah dengan kepentingan Yahudi dan Israel seperti isu kekejaman dan penindasan terhadap masyarakat Palestin oleh Israel dan puak pelampau Yahudi serta membangkitkan atau mempersoalkan isu pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi atau lebih dikenali sebagai isu holokous yang
berlaku semasa Perang Dunia Kedua (1939 – 1945) yang lalu? Malah terdapat beberapa negara Eropah yang mewujudkan undang-undang khusus bagi melarang orang
ramai untuk membicarakan isu holokaus ini dalam negara kita. Mana-mana pihak yang berani membangkitkan isu holokaus ini berisiko untuk ditangkap, didakwa dan digelar
sebagai anti-semitik.

Di manakah prinsip hak asasi dan kebebasan bersuara yang dilaun-laungkan dengan hebat oleh masyarakat Barat didalam perkara ini? Mungkin masyarakat Barat perlu belajar kembali maksud hak dan kebebasan untuk bersuara serta meluahkan
pendapat. Setiap manusia diberikan hak dan kebebasan dan ini termasuklah hak dan kebebasan untuk bersuara serta meluahkan pendapat. Hak dan kebebasan untuk bersuara dan meluahkan pendapat adalah hak dan kebebasan untuk bercakap serta meluahkan sesuatu. Konsep hak dan kebebasan untuk bersuara serta meluahkan pendapat ini tidak hanya tertumpu pada hak dan kebebasan untuk berkata-kata malah ia juga meliputi hak dan kebebasan untuk mencari, menerima dan menyebarkan maklumat atau idea.

Hak dan kebebasan ini boleh disebarkan melalui apa-apa medium atau kemudahan seperti surat khabar ataupun internet. Konsep hak dan kebebasan untuk bersuara serta
meluahkan pendapat ini juga selalu dikaitkan dengan hak dan kebebasan seseorang untuk berfikir dan menilai sesuatu perkara atau isu. Hak asasi dan kebebasan bersuara serta meluahkan pendapat ini telah diiktiraf sebagai salah satu bentuk hak asasi manusia di dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR).

Namun Perkara 19 ini kemudiannya telah dipinda didalam Perjanjian Antarabangsa
mengenai Hak- Hak Sivil dan Politikal (ICCPR) 1966 dengan meletakkan had atau batasan terhadap terhadap hak dan kebebasan untuk bersuara serta meluahkan pendapat ini di mana ia menyatakan bahawa hak dan kebebasan untuk bersuara serta meluahkan pendapat ini perlu diiringi dengan beban tanggungjawab dan ianya termaktub kepada had dan batasan terhadap keselamatan negara, keamanan awam, serta moral.

Ini bermakna, konsep hak asasi dan kebebasan bersuara serta meluahkan pendapat secara mutlak memang tidak boleh wujud di mana-mana tempat dalam dunia ini. Oleh yang demikian, adalah penting supaya masyarakat Barat dapat melihat kembali kepada konsep had dan batasan yang telah ditetapkan ini serta tidak melakukan sebarang perkara yang boleh menjejaskan keselamatan negara mereka sendiri, menganggu keamanan awam serta menjejaskan hubungan antara masyarakat yang terdiri daripada pelbagai budaya dan agama. Masyarakat Barat perlu belajar menghormati sensitiviti budaya dan agama orang lain sekiranya mereka ingin dihormati serta hidup aman dan damai.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)