PATI yang ditahan dalam Op Benteng oleh anggota Serkap Briged Kelima Infantri Malaysia (5 Briged) di kawasan Serudong,Tawau, Sabah semalam.

KUALA LUMPUR – Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang mengambil upah mengangkut barang secara haram dicekup dalam Op Benteng oleh anggota Serkap Briged Kelima Infantri Malaysia (5 Briged) di kawasan Serudong,Tawau, Sabah semalam.

Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia Kem Lok Kawi dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua PATI terbabit ditahan kira-kira pukul 6 petang selepas kumpulan Serkap mengesan tiga individu mencurigakan menaiki sebuah perahu kayu (jongkong) yang sarat dengan muatan barangan menghampiri daratan berhampiran jeti lama Kalabakan Selatan.

“Setibanya di daratan, dua orang PATI bertindak melarikan diri ke hutan meninggalkan pengemudi bot namun, berjaya ditangkap oleh orang awam dan diserahkan kepada kumpulan ronda yang diarahkan mencari.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua PATI yang ditahan hanya mempunyai pengenalan diri Indonesia dan masuk ke Malaysia bagi mengambil upah mengangkat barang di Pulau Nunukan,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, kedua-dua PATI berusia 17 dan 37 tahun ditahan bersama rampasan barang seperti perahu kayu (jongkong), enjin bot, barang-barang makanan dan guni pakaian persendirian.

Katanya, nilai kesemua barang rampasan dianggarkan mencecah hampir RM 33,053 dan kedua-dua PATI terbabit diserahkan ke Balai Polis Kalabakan untuk siasatan lanjut.

“Trup Tentera Darat yang sedang melaksanakan operasi akan meneruskan kawalan di sempadan daratan bagi memastikan Op Benteng dapat diperkukuhkan dari aktiviti PATI dan ancaman anasir-anasir luar.” tambahnya. – MalaysiaGazette