KUALA LUMPUR – Moody’s Investors Service (Moody’s) menjangkakan sektor tenaga Asia Pasifik (APAC) kekal stabil pada 2021 sebagaimana kedudukannya sejak 2009 serta berikutan aliran tunai yang kukuh.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata, sebahagian besar daripada aliran tunai pihak penerbit akan meningkat atau stabil, didorong oleh pemulihan permintaan tenaga atau mekanisme kos penjanaan yang mampu diurus.

Menurut Moody’s, perubahan pengawalseliaan secara berperingkat dan transisi terkawal ke arah ekonomi berkarbon rendah, hanya menekankan prospek sektor tenaga APAC pada tahun depan.

“Walaupun sektor tersebut berdepan cabaran tahun ini berikutan penularan pandemik COVID-19, syarikat-syarikat secara keseluruhannya terkawal dan kami menjangkakan persekitaran perniagaan yang lebih menyokong di serata rantau apabila ekonomi kembali pulih,” kata Naib Presiden dan Pegawai Kredit Kanan Moody’s, Boris Kan.

Beliau berkata, permintaan tenaga China semakin pulih dan penyusutan kadar faedahnya akan mengurangkan kemungkinan penurunan tarif akibat liberalisasi pasaran yang ketara.

Namun, pada masa sama, terdapat kelewatan pembayaran subsidi bagi pengendali tenaga boleh diperbaharui (RE).

Sementara itu di Australia, utiliti yang dikawal selia kekal telus namun utiliti dengan status sebaliknya akan berdepan cabaran akibat ketidaktentuan dasar dan harga.

Di Jepun, penyusutan berterusan bahagian pasaran utiliti daripada persaingan runcit dijangkakan terhad dan syarikat-syarikat tenaga kekal sebagai peneraju di pasaran domestik masing-masing.

Bagaimanapun, usaha meningkatkan pelaburan di luar negara akan menambah risiko perniagaan dan perbelanjaan modal dalam jangka panjang.

Selain itu, loji janakuasa Korea Selatan yang baru beroperasi, kos tenaga rendah serta mempertingkat penggunaan tenaga nuklear akan mengurangkan kos pelepasan bahan api serta pematuhan persekitaran.

Dalam pada itu, India menjadi satu-satunya pasaran tenaga dengan prospek negatif berikutan kelemahan permintaan, kelewatan pembayaran oleh syarikat pengedaran milik negara serta tindakan dasar bagi mengurangkan tekanan di pihak pengguna peringkat akhir.

“Sementara itu, di peringkat makro, sebahagian besar negara-negara ini telah mengumumkan bahawa usaha pembaharuan sektor akan mengubah peraturan secara berperingkat yang akan menyokong kestabilan aliran tunai.

“Sokongan dasar kerajaan dan peningkatan daya saing kos akan terus menyokong pertumbuhan RE rantau itu bagi jangka panjang. Namun, kelewatan kutipan subsidi atau tarif tetap menjadi satu cabaran,” katanya.

Beliau berkata, walaupun aliran tunai penjanaan berasaskan arang batu akan susut dan perbelanjaan modal terhadap RE akan meningkat susulan peralihan kepada ekonomi dengan karbon lebih rendah, kesemua risiko itu mampu diurus dalam masa terdekat berikutan kepentingan tenaga arang batu yang terus kekal di rantau tersebut.

Menurutnya, aspek persekitaran kadar faedah yang kekal rendah juga dilihat positif bagi utiliti tenaga dengan mengurangkan kos pendanaan masing-masing. – MalaysiaGazette