nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) sekali lagi mendakwa Sistem Insurans Pekerja (SIP) terus menghantui pekerja yang dibuang kerja kerana bukan semua layak mendapat perlindungan itu.

Menyifatkan SIP sebagai indah khabar dari rupa, NUFAM berkata, pihaknya menerima terlalu banyak aduan dalam kalangan kru kabin yang mendakwa tidak layak mendapat pampasan itu disebabkan beberapa kriteria.

Antaranya ialah mereka yang ditamatkan kontrak tidak layak kerana dasar pekerja kontrak, pekerja bergaji lebih RM4,000 juga tidak layak, selain dibuang kerja atas isu salah laku.

NUFAM mendakwa ramai pekerja diberhentikan kerja ketika penularan Covid-19 berada di bawah kriteria tersebut.

”Persoalannya, mengapa kena ada kriteria dalam pembayaran SIP, sedangkan skim ini sepatutnya memberi keadilan dan hak saksama kepada mereka yang telah hilang pekerjaan.

”Paling mengelirukan apabila ada yang dibuang kerja layak dan tidak layak terima SIP. Jadi polisi ini memang mengelirukan.

”Begitu juga ada pekerja kontrak yang pencarum Perkeso setiap bulan seperti pekerja tetap tidak layak terima SIP.

”Jadi manakah kebaikan SIP untuk mereka yang telah hilang pendapatan?,” soalnya.

NUFAM telah mengemukakan perkara ini kepada perhatian Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso agar memperbaiki dan melihat semula polisi ini.

Dengan adanya usaha untuk memperbaiki polisi ini, ia juga dapat memberi lebih jaminan dan hak perlindungan yang sebenar kepada masa depan pekerja.

”Jangan ada polisi yang berunsur “double standard” kerana selagi pekerja itu mencarum dan hilang pekerjaan mereka, mereka harus diberikan perlindungan yang saksama,” ujar NUFAM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast