BENGALURU – Seorang meninggal dunia dan hampir 600 orang dimasukkan ke hospital sejak Sabtu lalu setelah dijangkiti penyakit misteri yang menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri setelah mengalami pening, sawan dan loya.
Pesakit pertama dimasukkan ke hospital pada hari Sabtu di Eluru, sebuah bandar di negeri Andhra Pradesh.
Pada hari Ahad, menurut kementerian kesihatan persekutuan, terdapat lebih dari 200 orang yang dirawat di hospital, mengalami pening, sakit kepala dan muntah.
Pesakit termasuk kanak-kanak dan wanita pengsan dan pada petang itu seorang lelaki berusia 45 tahun meninggal.
Menjelang hari Rabu, jumlah pesakit telah meningkat tiga kali ganda.
Setakat hari ini lebih 85% pesakit sudah dibenarkan keluar.
Punca penyakit masih belum dikenalpasti dan hasil saringan Covid-19 mendapati negatif.
Eluru memiliki lebih 200,000 orang penduduk dan terkenal dengan industri tenun.
Penyelidikan sedang menumpukan beberapa pencemaran air bawah tanah, penggunaan racun perosak yang berlebihan atau penggunaan klorin secara besar-besaran sebagai sebahagian daripada tindakan pembasmian kuman.
Doktor juga telah menemui kimia dan nikel dalam sampel darah beberapa pesakit.
Tahap plumbum yang meningkat mungkin menjadi penyebab.
Kerajaan negeri mengatakan pihaknya juga sedang mengenal pasti apakah membuang atau membakar bateri terpakai boleh menyebabkan penyakit itu.
Selain itu, mereka juga menguji sampel air minum dan susu di kawasan ini. – MalaysiaGazette