Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Mohd Muzzammil Ismail bergambar di Ibu Pejabat Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera KL Sentral. foto AFIQ HAMBALI, 03 DISEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Setelah membuktikan hampir 35,000 penerima faedah berjaya dalam bidang masing-masing sejak penubuhannya pada 2012, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) terus mengorak langkah bagi merealisasikan matlamatnya sebagai sebuah agensi harapan kepada Bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Muzzammil Ismail  berkata, matlamat tersebut mampu dicapai memandangkan Yayasan Peneraju sudah meraih pelbagai kejayaan sepanjang lapan tahun penubuhannya.

“Hari ini Yayasan Peneraju  telah berjaya meletakkan dirinya sebagai  sebuah agensi harapan kepada Bumiputera kerana kita merupakan agensi yang berani menawarkan kursus yang tidak ditawarkan oleh mana-mana pihak. Amnya, kebanyakan agensi lain menawarkan kursus di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Tetapi kita di Yayasan Peneraju menawarkan program hybrid yang bukan sahaja memberi tumpuan untuk  melahirkan ‘cream of the cream’ atau yang terbaik dari kalangan cerdik pandai, malah kita juga ingin memastikan mereka yang bermula dari peringkat bawah akan turut dibimbing dan dibangunkan menjadi  ‘cream of the cream’ pada masa akan datang.

“Inilah keistimewaan Yayasan Peneraju iaitu melahirkan bakat Bumiputera yang berpotensi tinggi dan berdaya saing terutama dalam bidang berpendapatan tinggi. Sebagai contoh, kami telah berjaya membiayai hampir 5,000 penerima faedah Bumiputera di bawah teras Peneraju Profesional (Perakaunan) seperti ACCA, MICPA-CAANZ dan lain-lain,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama MalaysiaGazette.

Temubual Eksklusif bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Mohd Muzzammil Ismail di Ibu PejabatYayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, KL Sentral. foto AFIQ HAMBALI

Muzzammil berkata, ekoran jumlah penerima faedah yang semakin bertambah terutamanya dalam bidang pensijilan profesional (Perakaunan), Yayasan Peneraju boleh dikatakan sebagai sebuah ‘kilang’ dalam melahirkan seramai mungkin akauntan bertauliah Bumiputera.

“Sasaran kita adalah untuk melahirkan seramai 15,000 akauntan bertauliah menjelang 2030 selari dengan agenda Pemerkasaan Bumiputera”.

“Selain daripada itu, Yayasan Peneraju juga ingin memastikan generasi belia Bumiputera yang berkemahiran mampu dilahirkan seramai yang mungkin. Oleh yang demikian, kami memberi tumpuan kepada pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kursus kemahiran dalam industri kritikal untuk jangka masa antara tiga hingga enam bulan bagi mempertingkatkan kemahiran golongan belia ini.

“Dengan kemahiran sedia ada, mungkin selama ini pendapatan mereka antara RM1,000 hingga RM2,000 sahaja. Tetapi, apabila kemahiran mereka telah dipertingkatkan, mereka akan menjadi tenaga mahir dan mampu meraih pendapatan yang lebih tinggi mencecah antara RM3,000 hingga RM10,000,” ulas Muzzammil lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Mohd Muzzammil Ismail bersama kakitangan di Ibu Pejabat Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, KL Sentral. foto AFIQ HAMBALI, 03 DISEMBER 2020

Inilah antara inisiatif Yayasan Peneraju dalam usaha meningkatkan julat pendapatan antara belia dapat dicapai melalui menaik taraf (upskill) atau melatih semula (reskill) kemahiran dan pengetahuan masing-masing dalam bidang-bidang tertentu.

Mengulas mengenai kesan penularan Covid-19, Muzzamil berpendapat ramai yang terkesan dari segi kehilangan pekerjaan dan pengurangan gaji. Dengan ini, usaha-usaha seperti upskilling dan reskilling dalam golongan belia Bumiputera adalah untuk menyasarkan penambahan bilangan belia berpendapatan tinggi agar dapat mendepani cabaran-cabaran yang tidak dijangka.

“Saya melihat Yayasan Peneraju sebagai agensi yang menjadi badan pelaksana bagi pihak kementerian-kementerian sedia ada.

“Setiap kementerian mempunyai dasar, resolusi dan perancangan, manakala kita mempunyai program yang mungkin bersesuaian dengan dasar dan perancangan mereka. Saya percaya apabila kedua-duanya dapat digabungkan bersama, kita mampu menjangkau lebih ramai  penerima faedah, ” katanya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Mohd Muzzammil Ismail

Biarpun baru dalam menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Yayasan Peneraju, Muzammil komited dalam menggerakkan visi dan misi agensi tersebut.

Beliau beriltizam untuk menjadikan Yayasan Peneraju setanding dengan agensi yang turut mempunyai aspirasi yang sama iaitu melahirkan golongan Bumiputera berjaya.

“Jika sebelum ini nama Yayasan Peneraju tidak berapa dikenali sebagai sebuah agensi yang menawarkan pembiayaan pendidikan, sekarang dengan program-program yang ditawarkan diharap dapat pendedahan kepada rakyat Malaysia khasnya Bumiputera.

“Kita juga berharap agar Yayasan Peneraju ini dilihat dan dikenali sebagai agensi harapan di mana Yayasan Peneraju bukan sahaja menawarkan pembiayaan pendidikan tetapi turut mempunyai visi untuk melahirkan bakal-bakal pemimpin yang berwibawa dan berpendapatan tinggi seterusnya membantu kerajaan dari sudut menjana pendapatan negara.

“Ini merupakan antara hasrat kita. Saya selalu pesan kepada kakitangan Yayasan Peneraju, kita harus terus berusaha meningkatkan lebih ramai bakat-bakat Bumiputera yang berjaya. Saya ingin melihat Yayasan Peneraju terus dihormati dan diiktiraf sebagai agensi yang berjaya membawa golongan Bumiputera melalui pendidikan dan kemahiran ke tahap tertinggi”.

Untuk tahun 2021, Yayasan Peneraju menyasarkan hampir 17,000 penerima faedah melalui tawaran pembiayaan pendidikan program sedia ada dan program baharu,  khusus buat golongan lepasan sekolah sehingga golongan bekerja dan tidak bekerja tertumpu kepada bidang ekonomi digital, kewangan dan teknologi IR4.0.

Setakat ini, Yayasan Peneraju telah merealisasi aspirasi hampir 35,000 penerima faedah melalui 261 program pembiayaannya dengan peruntukan sebanyak RM716 juta yang diterima sepanjang tempoh lapan tahun penubuhannya.

–MalaysiaGazette