SUATU waktu dulu, sebagaimana yang diketahui daripada mereka yang pernah dipanggil cikgu itu, seorang yang berkerjaya sebagai seorang guru, dijulang tinggi dalam masyarakat.
Para guru dihargai dan diraikan selalu kerana tugas mereka bukan hanya mengajar tetapi mendidik anak bangsa daripada tidak tahu kepada manusia yang berilmu.
Sewajarnya tradisi itu diteruskan sampai bila-bila, bersesuaian dengan perintah agama yang memuliakan seorang guru.
Tingginya nilai seorang cikgu, bukan setakat di bilik darjah tetapi lebih daripada itu, menyelami apa yang dilalui seorang murid.
Begitulah hebatnya seorang guru yang menikmati tugasannya mendepani anak murid tanpa ada keluhan walau diberikan bebanan tambahan dan adakalanya guru dilayan tidak seperti dulu.
Setiap hari di bilik darjah di seluruh dunia, guru melakukan perkara yang menakjubkan, mengajar anak muridnya ilmu dan melayani karenah keanak-anakan mereka.
Tetapi terlalu kerap, golongan ini tidak diberi perhatian. Inisiatif Yayasan Varkey yang berpengkalan di Dubai wajar dipuji kerana mengangkat martabat dan meraikan profesion keguruan ke arena global dengan menganjurkan Hadiah Guru Global sejak 2014.
“Kami mempercayai pendidikan berkualiti untuk setiap anak. Itulah sebabnya, bersama-sama dengan rakan kongsi berusaha untuk membina status guru untuk memastikan bahawa kualiti pengajaran dapat ditingkatkan, dan hasilnya akan bertambah baik.
“Visi kami adalah pendidikan berkualiti untuk setiap anak melalui peningkatan status guru dan meraikan semua pendidik,” ujar pengasas Yayasan Varkey, Sir Sunny Varkey.
Menurut kajian yang dilakukan Yayasan Varkey yang dijalankan pada tahun 2013 dan 2018 (Indeks Status Guru Global) mendapati bahawa hanya sedikit orang yang melihat
pengajaran sebagai pekerjaan bertaraf tinggi dan sebilangan kecilnya berpendapat murid menghormati guru mereka.
Selain itu, tidak banyak ibu bapa yang mengatakan bahawa mereka akan mendorong anak-anaknya untuk menjadi guru.
Berdasarkan kajian yayasan itu lagi, terdapat kekurangan guru di seluruh dunia ketika ini, dengan lebih 69 juta guru diperlukan untuk menyediakan pendidikan rendah dan menengah global menjelang tahun 2030.
Satu kajian terbaru Bank Dunia pula menunjukkan bahawa hanya sembilan peratus guru di sub-Sahara Afrika yang memiliki pengetahuan pedagogi minimum yang diperlukan untuk mengajar kurikulum dengan berkesan dan hanya tujuh peratus yang dapat memberikan ujian tahun empat mengenai ejaan dan pemahaman dengan betul.
Begitulah guru yang berkualiti diperlukan masyarakat dunia bukan sahaja kini, tetapi untuk tahun-tahun seterusnya.
Menang daripada 12,000 pencalonan
Buat pertama kalinya, pengumuman pemenang Hadiah Guru Global disiarkan secara maya dari Muzium Sejarah Alam di London oleh Stephen Fry (seorang pelawak, pelakon dan penulis) pada 3 Disember 2020.
Ranjitsinh Disale, 32, seorang guru dari desa di negara India, bertugas di Sekolah Rendah Zilla Parishad di perkampungan Paritewadi, daerah Solapur, Maharashtra yang telah mengubah peluang hidup anak-anak muda di tempatnya, dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Guru Global 2020.
Ranjitsinh dipilih daripada lebih 12,000 pencalonan dari lebih 140 negara di seluruh dunia.
Hadiah Guru Global dianjurkan untuk mengenali seorang guru luar biasa yang telah memberikan sumbangan yang luar biasa kepada kerjaya ini dan juga untuk memberi perhatian kepada peranan penting yang dimainkan oleh guru dalam masyarakat.
Impak yang sangat luar biasa Ketika pertama kalinya beliau menjejak di Sekolah Rendah Zilla Parishad pada tahun 2009, sekolah itu adalah sebuah bangunan yang teruk yang letaknya di antara kandang lembu.
Sebilangan besar kanak-kanak perempuan berasal daripada komuniti suku di desa itu, yang mana kehadiran ke sekolah hanya serendah dua peratus dan perkahwinan remaja bawah umur adalah perkara biasa.
Bagi mereka yang berjaya ke sekolah, kurikulumnya bukan dalam bahasa utama mereka (Kanada), menyebabkan banyak pelajar tidak dapat belajar sama sekali. Ranjitsinh bertekad untuk membaiki situasi ini, berpindah ke kampung dan berusaha sedaya upaya untuk mempelajari bahasa tempatan.
Beliau bukan sahaja menterjemahkan buku teks kelas ke dalam bahasa ibunda muridnya tetapi juga memasukkannya dengan kod QR yang unik untuk memberi murid akses kepada puisi audio, ceramah video, cerita dan tugasan.
Yang utama, dengan menganalisis refleksi mereka, Ranjitsinh akan mengubah kandungan, aktiviti dan tugasan dalam buku teks berkod QR untuk membuat pengalaman pembelajaran yang menarik untuk setiap pelajar.
Selain itu, beliau menaik taraf status buku teks berkod QR dengan alat pembaca dan alat Flipgrid yang mendalam untuk menolong kanak-kanak perempuan dengan keperluan khas di tempat itu.
Impak terhadap ‘campur tangan’ yang dilakukan Ranjitsinh sangat luar biasa, menyebabkan tiada lagi perkahwinan bawah umur di desa itu dan kehadiran pelajar 100 peratus ke sekolah.
Baru-baru ini juga sekolah ini telah dianugerahkan sebagai sekolah terbaik di daerah ini dengan 85 peratus pelajarnya memperoleh gred A dalam peperiksaan tahunan dan seorang gadis dari kampung ini telah menamatkan pengajian di universiti, sesuatu yang dilihat sebagai impian yang mustahil sebelum Ranjitsinh tiba ke desa itu.
Selanjutnya, Ranjitsinh membuat revolusi dalam penggunaan buku teks berkod QR di seluruh India. Sekolahnya adalah yang pertama di negeri Maharashtra yang memperkenalkan buku itu kepada murid-muridnya.
Setelah mengemukakan cadangan serta skema perintis yang berjaya, Kementerian Negara India mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan buku teks berkod QR di seluruh negeri untuk semua Kelas 1 hingga 12 pada tahun 2017.
Berikutan kejayaan tersebut, Kementerian Sumber Manusia (HRD) negara itu meminta National Council of Educational Research and Training (NCERT) mengkaji kesan Buku Teks
Berkod QR dan bagaimana ia dapat ditingkatkan secara nasional. Pada tahun 2018 pula, Menteri HRD Prakash Javdekar mengumumkan bahawa semua buku teks NCERT akan
menyertakan kod QR.
Di luar kelas pula, Ranjitsinh membantu anak muridnya menerapkan pembelajaran mereka untuk mengatasi masalah dunia nyata yang mereka hadapi.
Dengan keadaan sekolahnya di negeri Maharashtra yang terdedah situasi kemarau, sekolahnya kini telah berjaya menangani masalah penggurunan, meningkatkan tanah hijau dari 25 peratus menjadi 33 peratus dalam beberapa tahun ini.
Secara keseluruhan, 250 hektar tanah di sekitar desanya diselamatkan daripada penggurunan, menjadikan sekolahnya menerima anugerah ‘Wipro Nature for Society’ pada tahun 2018.
Ranjitsinh juga bersemangat membina hubungan yang baik antara anak muda di negara-negara zon konflik melalui projeknya ‘Let’s Cross the Borders’ yang menghubungkan orang muda dari India dan Pakistan, Palestin dan Israel, Iraq dan Iran serta Amerika Syarikat dan Korea Utara.
Sepanjang program selama enam minggu itu, para pelajar digandingkan dengan teman mereka dari negara lain dan mereka perlu berinteraksi untuk menyiapkan tugasan persembahan serta mendengar ceramah daripada penceramah jemputan bersama untuk memahami persamaan mereka.
Mengikut laporan, setakat ini Ranjitsinh telah memulakannya dengan 19,000 pelajar luar biasa dari lapan negara ke dalam program ini.
Seterusnya, dengan menggunakan platform Komuniti Pendidik Microsoft, Ranjitsinh menghabiskan hujung minggu dengan membawa anak muridnya dari sekolah di seluruh dunia den gan sumber kebolehannya yang ada melalui lawatan lapangan maya.
Beliau juga terkenal kerana telah menghasilkan eksperimen saintifik daripada makmal sains yang telah dibina di rumahnya. Angka rasmi daripada Microsoft menunjukkan bahawa Ranjitsinh telah mengajar 85,000 pelajar yang luar biasa dari lebih 1,400 bilik darjah di 83 negara melalui pelajaran maya ini.
Tetapi Ranjitsinh tidak berhenti di situ. Beliau bertekad untuk memastikan bahawa semua yang dipelajarinya disampaikan kepada guru-guru yang lain.
Semasa percutian musim panas, Ranjitsinh telah melatih secara bersemuka lebih daripada 16,000 guru dalam perkhidmatan di seluruh negeri Maharashtra tentang bagaimana mereka dapat meningkatkan pengajarannya dengan menggunakan teknologi.
Hasil daripada semua perjuangan Ranjitsinh itu, Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella mengiktiraf Ranjitsinh sebagai salah satu daripada tiga kisah dari India dalam bukunya 2017, Hit Refresh.
Majlis ‘Global Teacher Prize 2020’ itu diadakan bagi memberi pengiktirafan khas untuk seorang guru dan seorang ‘pahlawan’ COVID-19 yang telah berusaha gigih memastikan
anak-anak muridnya belajar semasa wabak Covid-19.
Anugerah Pahlawan COVID bernilai USD45,000 yang disokong oleh CVC Capital Partners, telah diberikan kepada guru Matematik dari United Kingdom, Jamie Frost yang dikenali sebagai ‘Dr Frost Maths’.
Pada majlis itu juga, Yayasan Varkey turut mengumumkan pelancaran Hadiah Pelajar Global baru bernilai USD50,000 yang akan dibuka permohonan dan pencalonannya pada
tahun hadapan.
Hadiah Pelajar Global akan mewujudkan platform baru yang kuat untuk menyoroti usaha pelajar yang luar biasa di seluruh dunia hingga memberi kesan nyata kepada pembelajaran, kehidupan rakan sebaya dan masyarakat di luar.
Kongsi kemenangan dengan guru finalis lain.
Dalam ucapan kemenangannya, Ranjitsinh membuat pengumuman luar biasa bahawa beliau akan berkongsi sebahagian wang hadiah yang dimenanginya dengan sembilan guru finalis lain, yang masing-masing akan menerima lebih dari USD55,000.
Ini adalah buat julung kalinya seorang guru yang murah hatinya ‘berkongsi’ kemenangan dengan guru-guru finalis yang lain dalam sejarah enam tahun Hadiah Guru Global dianjurkan.
"Saya rasa jika saya berkongsi hadiah wang ini dengan sembilan guru, ini bermakna saya dapat memperluas skop pekerjaan mereka. Tugasan luar biasa mereka masih bernilai.
“Jika saya berkongsi hadiah wang dengan guru yang lain, mereka akan berpeluang untuk meneruskan pekerjaan mereka dan saya dapat berkomunikasi dan mereka," ujarnya ketika wawancara bersama Stephen Fry yang mana tindakan guru ini dikagumi dan mendapat pujian masyarakat seantero dunia.
"Mendidik anak-anak kecil, terutama daripada latar belakang miskin dan memerlukan, mungkin merupakan kaedah terbaik untuk menolong mereka sebagai individu dan menyumbang secara berkesan untuk mewujudkan dunia yang lebih baik," kata pemenang Hadiah Guru Global itu.
Sembilan lagi guru finalis lain ialah dari negara Amerika Syarikat, Britain, Vietnam, Nigeria, Afrika Selatan, Itali, Korea Selatan, Malaysia dan Brazil.
Peranan kita sebagai masyarakat yang bertamadun sewajarnya diteruskan iaitu mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru kerana dengannya kita belajar sesuatu ilmu.
Tanpa guru, sunyilah dunia ini daripada manusia yang berpengetahuan. Melaluinya, kita kenal pelbagai perkara yang tiada setanding dengan tugasnya. Wahai guru, didiklah anak bangsa dengan ikhlas sepenuh hatimu, menjadi manusia yang memanusiakan manusia. Tahniah untuk kalian yang berjuang untuk memandaikan anak bangsamu!
Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia