Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan pengukuhan semalam untuk diniagakan lebih tinggi berbanding dolar AS pagi ini, disokong oleh harga minyak mentah yang lebih baik, kata seorang penganalisis.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.0530/0560 daripada 4.0600/0620 ketika ditutup petang Khamis.

Ketua strategi pasaran Global Axi Stephen Innes berkata, ringgit mendapat manfaat berikutan peningkatan harga minyak mentah kerana Malaysia adalah antara pengeluar minyak terbesar di Asia, lebih-lebih lagi apabila minyak mentah Brent melonjak melepasi paras USD50 setong.

“Lonjakan minyak ini boleh menyaksikan ringgit diniagakan pada 4.5 berbanding dolar AS,” katanya.

Dilaporkan minyak mentah Brent mencecah US$50 setong pada Khamis untuk pertama kalinya sejak harga minyak merudum awal Mac, dengan harapan pelancaran vaksin yang lebih cepat mendorong jangkaan terhadap pengukuhan terhadap permintaan minyak awal tahun depan.

Minyak mentah Brent kini diniagakan 0.68% lebih tinggi pada USD50.59 setong.

“Dengan pelancaran vaksin kelak, ringgit berpeluang mengukuh dengan eksport lebih menuju ke barat.

“Pada masa sama, industri pengembaraan Malaysia akan turut berkembang pesat sebaik sahaja laluan penerbangan udara dibuka semula,” kata Innes.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0366/0400 daripada 3.0348/0368 ketika ditutup pada Khamis dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.8967/9008 daripada 3.8863/8889.

Mata wang tempatan bagaimanapun diniagakan tinggi berbanding pound Britain pada 5.3917/3961 daripada 5.4063/4106 semalam, tetapi susut berbanding euro pada 4.9224/9276 daripada 4.9142/9183 pada Khamis.-BERNAMA