PENGALAMAN politik di Perak begitu unik kerana merupakan satu-satunya negeri yang telah mengalami tiga penjajaran kuasa berbeza.
Pertamanya, Perak pernah mengalami pertukaran Menteri Besar dan parti pemerintah negeri pada 2009.
Keduanya, pertukaran parti pemerintah tetapi Menteri Besar dikekalkan pada Mac 2020 dan terkini pula, MB telah ditukar dari Bersatu kepada UMNO dan Kerajaan Perikatan Nasional dikekalkan.
Krisis mutakhir ini memberi indikator kestabilan kepimpinan kerajaan yang diterajui oleh parti komponen terkecil dalam sebuah gabungan politik adapah sangat rapuh.
Kerapuhan disebabkan sukarnya untuk mencapai keseimbangan kuasa antara parti komponen dalam keadaan kuasa rundingan dan tawar-menawar antara parti komponen tidak setara kekuatannya.
Selain Perak, Kerajaan Persekutuan juga turut berhadapan dengan tekanan ini hinggakan kerajaan pimpinan Muhyiddin-Bersatu terpaksa akur dengan tuntutan pindaan Belanjawan 2021 oleh UMNO demi memastikan RUU Perbekalan tersebut
diluluskan dan mengelakkan risiko PM hilang kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.
Persaingan kuasa ini memperlihatkan cubaan UMNO untuk menjadi parti dominan dalam Perikatan Nasional sebagaimana mereka menjadi dominan dalam kerajaan Barisan Nasional terdahulu, memandangkan UMNO memiliki kerusi Parlimen dan
DUN terbanyak gabungan ini.
Kerajaan yang terbentuk daripada amalan ini mungkin akan memiliki sebuah kestabilan dalam menentukan hala tuju dan menggubal dasar kerajaan.
Risikonya, mereka berhadapan dengan hakisan sokongan dari penyokong parti komponen yang lain.
Sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional yang memperlihatkan dominasi UMNO yang berlebihan telah menyebabkan MCA dan MIC semakin hilang pengaruh kerana masyarakat bukan Melayu tidak lagi yakin MCA dan MIC mampu membawa suara mereka untuk berunding dalam BN.
Natijahnya, sokongan Cina dan India telah beralih kepada Pakatan hingga mencecah 90 peratus dan 75 peratus sokongan semasa PRU-14.
Pasca PRU-14 pula, kewujudan Muafakat Nasional telah membantu UMNO meningkatkan undi majoritinya di atas sokongan Pas dan UMNO juga dilihat memiliki kuasa yang lebih kerana UMNO diberikan banyak ruang dan peluang untuk bertanding.
Pas hanya bertanding di Seri Setia dan Port Dickson sahaja. Pengaruh UMNO dilihat telah diseimbangi semula oleh Bersatu dan Pas apabila tertubuhnya Kerajaan Perikatan Nasional.
Sewajarnya kedinamikan ini berterusan di samping emperkasakan peranan MCA, MIC dan parti komponen lain juga untuk mempamerkan Barisan Nasional – Perikatan Nasional sebagai parti yang terbuka, demokratik dan progresif demi meraih semula sokongan pelbagai kaum.
Sekiranya UMNO meneruskan langkahnya untuk mendominasi kerjasama dalam Perikatan Nasional, mungkin hanya 3 juta ahli UMNO sahaja yang bergembira.
Manakala parti komponen Perikatan bakal mengalami kesukaran untuk meyakinkan sokongan akar umbi mereka pada PRU seterusnya jika PN telah berubah kepada BN 2.0 yang pernah ditolak oleh rakyat sebelum ini.
Anis Sina
Ketua Penyelidik
O2 Malaysia
Pada peringkat Persekutuan, rakyat boleh memilih sama ada dominasi UMNO atau dominasi DAP. Di negeri Perak, rakyat telah memilih UMNO, jd kena hormati suara rakyat. MCA dan MIC kalah kerana org bukan Melayu memilih dominasi DAP. Thats the fact.
Umno syiok sendiri.. Rakyat dh tolak pru lepas… Dan akan dikuburkan terus pru15.. That the Fact.
Harap ada blok ke 3 yang tak ada UMNO dan parti PH. PRU 15 kami nak tunjuk kat UMNO supaya jgn rasa semua rakyat tergila gila kan pemimpin mereka. That will show them what is the real fact!