Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Terdapat cubaan serta konspirasi daripada pihak tertentu untuk mengubah pendirian Barisan Nasional (BN) yang menolak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa apabila memberitahu, konspirasi menggagalkan dasar ‘tolak Anwar tolak DAP’ yang telah dipersetujui menerusi Majlis Tertinggi UMNO sedang berjalan dengan menggunakan akuan bersumpah (SD).

“SD cuba dikutip, pujuk rayu berterusan, punca kemarahan kepada kerajaan cuba direka, nama istana dan kerabat turut di guna.

“Liciknya pihak yang kempunan kuasa, yang berharap mengambil alih kuasa amat bijak mengatur strategi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Annuar turut mendedahkan dalang konspirasi itu berpura-pura meletak DAP di saf belakang supaya mereka mudah untuk memperdaya pihak yang menyatakan pendirian menolak Anwar dan DAP.

Menurut beliau, taktik itu sudah sekian lama menghantui politik negara dan mereka mungkin tidak sedar bahawa gerakan itu sudah diketahui.

“Kini dasar ini cuba ditebuk perlahan-lahan. Jarum DAP menusuk halus untuk menghancurkan pakatan ‘tolak Anwar, tolak DAP’.

“Umpan yang ditawarkan adalah umpan yang mereka tahu pasti ditelan jerung besar,” ujarnya.

Sementara itu, Annuar memberitahu beliau yakin percubaan mengubah pendirian itu gagal kerana kepemimpinan parti tidak tergamak, hormat, segan dan mengamalkan sifat tolak ansur dalam kalangan Melayu yang lain.

“Dasar parti ‘tolak Anwar tolak DAP’ diputuskan bersama berkali-kali di semua peringkat parti.

“Dasar itu jugalah yang dikongsi bersama dengan parti yang sealiran yang membawa kejayaan menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) dan menamatkan dominasi DAP di Putrajaya,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast