Stanley Bernard.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) hari ini mengumumkan bekas pemain kebangsaan, Stanley Bernard Stephen Samuel sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur United FC.

Stanley bukanlah nama asing bagi peminat bola sepak tempatan kerana beliau pernah bertugas sebagai pengulas Liga Malaysia dan sering muncul dalam rancangan berbentuk perbincangan bola sepak di kaca televisyen.

Pemilihannya sebagai CEO dilihat sebagai langkah yang tepat oleh para penyokong Kuala Lumpur kerana Stanley mempunyai pengalaman yang luas dalam arena bola sepak tempatan.
Malah, ketika bergelar sebagai pemain, dia pernah beraksi dengan skuad warga kota itu pada musim 2004 hingga 2008 sebagai penyerang serta turut dipanggil memperkuatkan pasukan kebangsaan.

Kemudian, dia menyertai sebuah kelab profesional dari India, Sporting Clube de Goa sekaligus mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia yang pertama beraksi dalam saingan I-League pada musim 2010-2011.

Selepas pulang dari India, Stanley mencuba nasib dalam Liga Indonesia dan ditawarkan kontrak oleh kelab Persibo Bojonegoro.

Dia berjaya menjaringkan gol dalam penampilan pertama pada perlawanan pra-musim namun khidmatnya tidak bertahan lama disebabkan oleh isu politik antara dua negara (Malaysia & Indonesia).

Stanley akhirnya kembali semula ke Liga Malaysia pada musim 2011 dan menyertai pasukan Sabah.

Pada tahun 2012, dia menyertai semula Kuala Lumpur dan akhirnya mengambil keputusan untuk bersara disebabkan oleh kecederaan serius yang dialaminya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast