Datin Seri Umie Aida bersama suami, anak dan menantu. - Foto Umie Aida

KUALA LUMPUR –  “Alhamdulillah, kami mendapat keluarga baharu. Semoga melahirkan keluarga bahagia dan sakinah,” demikian ungkap Datin Seri Umie Aida apabila anak sulungnya, Mohd Danial Firdaus bergelar suami kepada Haniz Zahira.

Danial yang juga pemain keyboard kumpulan Neon Band itu disatukan dengan pilihan hati di Masjid Damai di ibu kota dengan dihadiri 50 tetamu, semalam.

Umie berkata, dia tidak menyangka anak ditatang bagaikan minyak yang penuh sudah bergelar suami orang.

“Rasa macam Danial masih kecil lagi. Tetapi, Danial sudah berusia 27 tahun. Isterinya hanya berusia setahun tua daripadanya,” katanya memetik laporan BH Online.

Danial mengikat tali pertunangan dengan Haniz yang juga pegawai pemasaran pada majlis tertutup, Jun lalu.

Umie berkata, dia tidak meletakkan syarat kepada Danial mencari teman hidup, malah tak sabar mahu menimang cucu pertama.

“Sebenarnya, saya teruja apabila Danial menyuarakan hasrat mahu ke fasa perkahwinan.

“Nampaknya, anak saya serius dalam soal jodoh ini. Saya tidak meletakkan syarat untuk anak-anak mencari pasangan hidup. Biarlah pilih sendiri bagi membina kehidupan bersama orang disayangi.

“Alhamdulillah, saya melihat Haniz anak yang baik apabila kali pertama bertemunya. Jumpa pula keluarga Haniz, masya-Allah, rezeki Allah bagi. Besan saya pun baik-baik,” katanya.

Pelakon filem Dukun itu berkata, sepatutnya majlis pertunangan dan pernikahan berlangsung sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.

“Bagaimanapun, apabila PKP kena ikut syarat tertentu pula. Itu semua ketentuan. Saya tanya anak, mahu bernikah tahun ini atau macam mana. Benda baik eloklah dipercepatkan. Tak perlu tangguh.

“Akhirnya, mereka bertunang dan bernikah, tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette