Gambar hiasan

NEW YORK – Harga minyak mengalami sedikit perubahan dalam dagangan tidak menentu pada hari Isnin disebbakan lebihan bekalan yang berterusan dalam pasaran menjejaskan harapan penemuan vaksin koronavirus bakal meningkatkan permintaan bahan bakar global.

Niaga hadapan minyak mentah Brent untuk bulan Februari mengakhiri sesi dengan kenaikan sebanyak AS$0.32 atau 0.6%, lebih tinggi kepada AS$ 50.29 setong, sementara niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate untuk Januari meningkat sebanyak AS$0.42 atau 0.9% kepada AS$ 46.99 setong.

Harga turun lebih dari 1% pada awal sesi setelah OPEC memaklumkan permintaan minyak global akan melantun lebih perlahan pada tahun 2021 daripada yang dijangkakan sebelum ini, kesan daripada wabak koronavirus, yang menghalang usaha kumpulan itu dan sekutunya untuk menyokong pasaran.

Brent dan WTI telah meningkat selama enam minggu berturut-turut, kenaikan mingguan terpanjang sejak bulan Jun.

Tanda-tanda kenaikan bekalan telah membebankan di pasaran, menurut Presiden Ritterbusch and Associates, Jim Ritterbusch.

Pengeluaran minyak Libya mencapai 1.28 juta tong sehari pada hari Isnin, kata sumber National Oil Corporation (NOC), meningkat daripada 1.25 juta tong per hari pada akhir November.

Di Amerika Syarikat, firma tenaga minggu lalu menambah pelantar minyak dan gas asli paling banyak dalam seminggu sejak Januari ketika pengeluar kembali ke medan minyak.

Inventori minyak mentah darat global pada bulan Disember masih jauh di atas tahap 2019 dan 2018, kata syarikat perisikan pasaran, Kpler, dengan peningkatan di darat terbesar tahun ini di China. – MalaysiaGazette