Mokhtar Senik
Mokhtar Senik

KUALA LUMPUR – Kepimpinan tertinggi Pas dan UMNO diharap bijak untuk mengatur strategi, tidak tamak mempertahankan kepentingan sendiri supaya Muafakat Nasional (MN) terus dipertahankan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mokhtar Senik berkata, kekuatan hubungan MN kini dilihat terjejas selepas wujudnya tiga kem dalam UMNO.

Ketiga-tiga kem pertamanya yang cenderung kepada penggabungan bersama Pakatan Harapan (PH), kedua, mahu bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan satu lagi kumpulan mahu kekal mempertahankan Muafakat Nasional (MN).

Situasi berkenaan menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu akan melemahkan UMNO seterusnya Muafakat Nasional (MN) yang ditandatangani pada 14 September 2019.

“Pas sedih menyaksikan itu. Kerana Pas tidak mahu melihat UMNO lemah sebagaimana Pas mahu dirinya terus gagah.

“Dalam banyak ceramah saya bersama pimpinan UMNO di seluruh negara, saya selalu tegaskan. Jika Pas melihat UMNO jatuh dan lemah, maka papahlah UMNO. Kerana jika UMNO lemah, tidaklah banyak kebaikannya jika Pas berkerjasama dengan rakan yang lemah.

“Begitu juga UMNO, jika lihat Pas lemah maka bantulah Pas. Kerana jika Pas lemah, tiada hebatnya UMNO berkerjasama dengan orang yang lemah. Akhirnya wujudlah sebuah muafakat yang lemah. Untuk muafakat ini kuat maka PAS dan UMNO kena sama-sama kuat dan gagah.

“Seboleh mungkin saya tidak mahu melihat UMNO pecah dan meninggalkan MN. Namun jika takdir berlaku juga maka saya doakan agar majoriti UMNO masih bersama MN. Kerana di sini saudara sebangsa dan seagama dengan anda iaitu seluruh ahli Pas masih setia dengan Piagam MN yang telah dimeterai.

“Kami yang berada di bawah ini mengharapkan pihak yang di atas sana elok-eloklah atur strategi. Jangan tamak, jangan khianat, mandat dan hasrat ahli, jangan rabun mata, dan jangan main silap mata,”  katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pas kata Mokhtar, tidak mahu melihat Melayu muslim berpecah.

Malah katanya sebolehnya apa yang ingin dilihat oleh Pas adalah Melayu Muslim dalam Pas, UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuklah PKR, Parti Amanah Negara bersama-sama termasuklah yang berada dalam DAP tidak berpecah.

“Biarlah kita duduk bersama dalam persepakatan agama Allah. Tidak kira Pas, UMNO atau Bersatu. Kalau boleh Pas mahu PKR, PAN (Parti Amanah Negara) dan Melayu Muslim dalam DAP itu tinggalkanlah DAP dan mana-mana aliran politik sekular.

“Kita semua telah dibekalkan dengan panduan hidup yang bernama Islam. Maka perlu apa lagi kita teraba-raba mencari berhala Sekular itu,” katanya lagi.

Semalam, Tengku Razaleigh yang juga veteran UMNO dan Tun Dr Mahathir Mohamad menawarkan khidmat untuk membangunkan semula negara dan memenuhi keperluan rakyat jika kerajaan Perikatan Nasional tidak berjaya mendapat undi majoriti dalam undi belah bahagi bacaan ketiga Belanjawan 2021.- MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Atau mungkin sebab:
    1. PAS dah bertukar dari Parti Islam SeMalaya dan sekarang menjadi Parti Anak2 Setan?
    2. Taring dan tanduk setan pun dah keluar?
    3. Tafsir2 dari ayat quraan yang sama juga telah bertukar?
    4. Dah pandai meminta project direct nego?

Comments are closed.