Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) berharap kerajaan Perikatan Nasional dapat memperhalusi cadangan-cadangan belanjawan yang dikemukakan oleh rakyat, melalui saluran Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dijangka tidak akan memberi laluan mudah kepada kelulusan bacaan ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 yang akan dijalankan pada Selasa.

Sinchew Daily melaporkan, pembangkang akan meminta undi belah bahagi dan mereka juga tidak akan melakukan “pusingan-U” seperti semasa bacaan kedua.

Seorang wakil rakyat pembangkang yang tidak bersetuju dengan “pusingan Anwar” dalam bacaan kedua pada 26 November lalu berkata, Ahli Parlimen pembangkang pasti akan berdiri untuk meminta undi belah bahagi pada Selasa.

“Kalau ada pusingan-U lagi, maka beliau harus kekal duduk selama-lamanya,” katanya yang tidak berpuas hati dengan pencaturan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Mengambil kira situasi terdahulu, pembangkang bagaimanapun percaya bahawa UMNO tidak akan menyertai mereka untuk menggagalkan kelulusan Bajet.

Ahli Parlimen yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu Sinchew Daily, beberapa orang Ahli Parlimen UMNO bagaimanapun mungkin memilih untuk tidak menghadiri mesyuarat Dewan Rakyat.

“Tetapi jumlahnya mungkin dua atau tiga orang sahaja seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Dalam pada itu, satu perkara yang turut mencuri perhatian adalah sama ada Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal akan senada dengan Anwar di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast