Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan para pendeposit supaya mengemas kini maklumat peribadi masing-masing sekiranya terdapat sebarang perubahan pada alamat, nombor telefon dan penamaan waris.

Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, proses kemas kini itu akan memudahkan pihaknya menghubungi pendeposit selain mengelakkan kes surat tawaran tunai haji tidak diterima kerana bertukar alamat.

“Surat tawaran tunai haji bagi tahun 1442H/2021M akan dikeluarkan sebaik sahaja pihak TH menerima ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan dengan pelaksanaan haji tahun hadapan.

“Untuk makluman semua, TH masih belum menerima sebarang pengumuman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan perincian musim haji tahun 1442H/2021M,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, bagi memudahkan proses kemas kini maklumat peribadi, para pendeposit TH juga digalakkan untuk mendaftar aplikasi perkhidmatan THiJARI (www.thijari.com.my) di mana bakal haji boleh menyemak pendaftaran haji, status tawaran haji, jadual penerbangan serta pelbagai perkhidmatan lain seperti urusan pindahan simpanan, semakan baki dan sebagainya.

Proses kemas kini boleh dilakukan di mana-mana Pejabat Cawangan TH, Pusat Perkhidmatan TH dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).-MalaysiaGazette