Tujuh individu yang terdiri daripada pengarah syarikat perkapalan dan juga pengarah agensi kerajaan dihadapkan mahkamah untuk dua permohonan reman, dua sambung reman dan tiga perintah dibebaskan oleh SPRM berhubung siasatan kes skandal minyak gred berat di perairan negara di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 15 DISEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Seorang pengarah agensi kerajaan dan seorang pengarah syarikat merupakan dua individu terbaharu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantu siasatan kes rasuah melibatkan skandal membawa minyak gred berat ke perairan negara.

Manakala seorang timbalan ketua pengarah jabatan kerajaan yang berpangkat ‘Datuk’ direman lima hari sejak Jumaat lalu pula disambung reman di mahkamah sama pada hari ini berhubung kes yang sama.

Kedua-dua suspek ditahan pukul 9 malam dan 12 tengah malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Individu berusia 50 dan 60 tahun itu hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pukul 9.55 pagi tadi dan dihadapkan untuk mendapat perintah reman.

Pengarah agensi kerajaan berusia 50 tahun itu disyaki terlibat menerima suapan rasuah secara bulanan daripada pengurus syarikat perkapalan itu sebagai balasan tidak menjalankan pemeriksaan ke atas kapal yang menjalankan aktiviti pengisian minyak di perairan negara antara tahun 2019 hingga 2020.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan pengarah agensi kerajaan direman empat hari sehingga 18 Disember ini manakala pengarah syarikat direman lima hari sehingga 19 Disember ini untuk membantu siasatan SPRM.

Mereka dibawa ke mahkamah dalam keadaan berbaju lokap berwarna jingga sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret.

Turut dihadapkan ke mahkamah lima individu dalam tangkapan pertama yang direman pada Jumaat lalu iaitu termasuk timbalan ketua pengarah jabatan bergelar ‘Datuk’.

Namun empat daripada suspek berkenaan iaitu termasuk Setiausaha Bahagian di sebuah kementerian dan seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri yang pernah direman Jumaat lalu dilepaskan dengan wang jamin antara RM9,000 hingga RM15,000 seorang.

Bagaimanapun dalam kes berkaitan, seorang suspek timbalan ketua pengarah sebuah agensi kerajaan bergelar ‘Datuk’ yang direman sejak 11 Disember lalu, disambung reman tiga hari sehingga 18 Disember ini.

Kesemua tujuh orang individu kemudian keluar meninggalkan mahkamah sekitar 11.30 pagi diiringi pegawai penguatkuasa SPRM.

Pada 11 Disember lalu, lima individu termasuk seorang timbalan ketua pengarah jabatan bergelar ‘Datuk’ ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan rasuah berhubung kelulusan dan pengecualian khas kepada beberapa syarikat untuk membawa minyak gred berat di perairan Malaysia.

Perintah reman sehingga 15 Disember lalu terhadap mereka dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas mendapat permohonan daripada SPRM di mahkamah yang sama.

Menurut sumber, timbalan ketua pengarah itu ditahan reman bersama tiga pengarah syarikat perkapalan termasuk seorang bergelar Datuk Seri serta setiausaha bahagian sebuah jabatan kerajaan.

Kelima-lima individu berusia antara 35 hingga 54 tahun ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada malam Khamis minggu lalu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – MalaysiaGazette