KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengumumkan pemenang utama pertandingan reka cipta logo baharu pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) iaitu Ku Basri Ku Halim yang akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000.

Logo baharu itu sebagai proses pemisahan daripada persatuan dan langkah untuk menjadi sebuah kelab bola sepak berstatus swasta bermula pada musim depan sebagai lambang rasmi masing-masing.

Logo tersebut menyerupai rekaan logo lama sebelum digantikan dengan lambang helang merah dan disertakan dengan slogan keramat pasukan itu, Biar Jasa Jadi Kenangan.

Tahun 1924 yang tertera pada logo tersebut mewakili tahun penubuhan KFA.

Sebanyak 300 penyertaan telah diterima sejak bulan Oktober lalu.

Pertandingan itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan tiada had penyertaan penjenamaan logo KDA.

Selain itu, setiap peserta juga wajib letak simbol 17 butir padi pada logo tersebut di mana angka 17 diterjemah kepada jumlah rakaat dalam 5 waktu solat dalam sehari yang turut terdapat pada jata bendera negeri Kedah.

Bagaimanapun, KFA kemudian menjelaskan pihaknya masih tidak berpuas hati dengan kualiti hasil karya penyertaan yang telah diterima.

Mereka juga kecewa kerana kebanyakan peserta tidak menghantar portfolio huraian terperinci mengenai rekaan logo tersebut dalam format PDF.

Menurut kenyataan rasmi, 90 peratus penyertaan dikategorikan sebagai joy participant yang belum mencapai tahap karya yang profesional dan agak luar jangkaan sebenarnya jika dinilai kualiti dari tahap piawaian.

Selepas tarikh tutup penyertaan pada 31 Oktober lalu, semua logo yang terpilih telah dipamerkan melalui laman facebook rasmi sebelum disenaraikan pendek kepada 20 logo yang terbaik untuk undian penyokong.

Terdapat beberapa logo menarik yang telah menjadi pilihan para penyokong Kedah, namun mereka mempersoalkan bagaimana logo rekaan pemenang utama yang langsung tiada dalam senarai tiga logo terbaik dipilih oleh KFA.

Isu pemilihan logo itu kini menjadi kontroversi dan menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana logo lain menjadi pilihan utama berbanding tiga logo terbaik yang telah disenarai pendek. – MalaysiaGazette