Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid.

SEMASA masih berkhidmat sebagai wartawan sekitar tahun 1990-an, saya berpeluang menemubual Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid yang ketika itu sudah pun melepaskan jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Malaya.

Pak Ungku sapaan akrab bagi seorang tokoh cendekiawan ulung dan sejati, ahli fikir malah boleh juga dikatakan ahli falsafah unggul. Beliau ketika itu sudah menumpukan perhatian sebagai Yang Dipertua Angkasa, sebuah pertubuhan koperasi utama di tanah air.

Tugas saya menemubual Pak Ungku ketika itu adalah untuk mendapatkan pandangan dan ulasan beliau berkaitan isu kelemahan ketara siswazah universiti di dalam penggunaan bahasa Inggeris.

Heboh satu negara ketika itu dengan pelbagai pandangan berkaitan kelemahan siswazah, khususnya berbangsa Melayu yang tidak dapat menguasai pertuturan dan penulisan dalam bahasa Inggeris.

Maka, dirumuskan akibat kelemahan itu siswazah Melayu gagal mengisi peluang pekerjaan di dalam sektor swasta, korporat dan industri yang lazimnya secara meluas menggunakan bahasa Inggeris di dalam urusan komunikasi rasmi dan tidak rasmi.

Saya masih ingat ketika itu Pak Ungku menyambut saya dengan mesra di pejabat beliau di Petaling Jaya. Sosok penampilan beliau sangat sederhana, tidak mementingkan protokol dan sebelum tiba beliau sendiri memandu kenderaan Proton Saga.

Tiada gaya dan penampilan untuk menunjukkan kemewahan, lebih saya menyaksikan Pak Ungku sebagai seorang scholar atau ilmuan, berjambang lebat, berkaca mata, raut wajah yang nampak serius tetapi ramah.

Kata-katanya masih terngiang-ngiang di telinga saya. “Bukan sahaja bahasa Inggeris siswazah kita yang tidak kuat, tetapi kemampuan bahasa Melayu pun tidak cukup kuat.” Demikian lebih kurang ulasan Pak Ungku.

Jadi rumusan saya ketika itu kelemahan berbahasa bukan hanya satu sisi, tetapi lebih rencam dan menyeluruh.

Penguasaan bahasa yang baik dan berkesan, sama ada bahasa ibunda mahu pun bahasa kedua atau ketiga seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab dan  bahasa Mandarin diperlukan untuk memudahkan kelancaran di dalam menjalankan tugas secara profesional, dinamik dan berkesan.

Saya bertanya kepada Pak Ungku apakah rahsia beliau yang menguasai bahasa Inggeris dengan cukup baik, beliau menyebut antara lainnya pendedahan dengan karya sasterawan klasik, William Shakespeare.

Selain itu, generasi terdahulu sebelum tahun 1970an menerima pendidikan sepenuhnya di dalam bahasa Inggeris sehinggalah apabila tiba pada tahun 1971, bahasa penghantar persekolahan diubah kepada bahasa Melayu.

Saya berkata begitu kerana saya memulakan persekolahan pada tahun 1971 dan sudah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di dalam semua urusan pengajaran dan pembelajaran.

Maka, apabila memasuki universiti pada tahun 1984, saya merupakan generasi angkatan pertama yang diasuh dari sistem persekolahan di dalam bahasa Melayu sepenuhnya.

Saya juga mengingati ketika itu inisiatif Pak Ungku untuk meneroka dan menyelongkar lebih mendalam perihal Minda Melayu kerana bagi beliau ada banyak sisi-sisi yang boleh dikaji dan dimanfaatkan jika mengkaji secara mendalam hal-ehwal orang Melayu.

Saya tidaklah mengikuti lebih lanjut apa perkembangan selepas itu kerana selepas tahun 1998 saya sudah meninggalkan dunia kewartawanan. Cuma di sekitar tahun 1990an itu juga saya sering mendengar Pak Ungku menerusi Radio Ibu Kota diwawancara jika tidak silap saya oleh juruhebah Zainal Din Zainal pada awal pagi.

Beliau mengupas pelbagai isu dan hal ehwal semasa, dunia ilmu, pemikiran ekonomi, teknologi dan sebagainya. Sebagai anak muda yang baharu sahaja melangkah ke alam kerjaya ketika itu tentu sekali pandangan segar, kritis dan bernas Pak Ungku memberi suntikan inspirasi untuk saya lebih maju.

Saya memang terpesona dengan pandangan kritis, bernas, cerdas dan menampilkan wibawa ilmu yang wajar diteladani. Insan seperti Pak Ungku memberikan banyak pencerahan, motivasi dan rangsangan hidup berlandaskan ilmu, fakta dan pemikiran asli.

Banyak sisi lain yang boleh dikaji dan dimanfaatkan untuk kita mengenang pemergian tokoh ilmuan legenda ini, seorang bekas Naib Canselor Universiti Malaya yang paling lama memegang jawatan tersebut bermula pada 1 Oktober 1968 sehingga 27 Februari 1988.

Beliau mengambil alih jawatan berkenaan daripada Professor A Oppenheim, seorang pakar Matematik warga Eropah.

Pelantikan Pak Ungku itu tentulah di dalam proses pemeribumian jawatan penting universiti kepada anak tempatan.

Pemergian Pak Ungku di dalam usia yang lanjut 98 tahun kelmarin merupakan satu kehilangan yang tiada galang gantinya.

Sukar kita mencari seorang tokoh ilmuan sejati, pemikir, pakar ekonomi, berjiwa Melayu, ahli falsafah dan seperti diungkapkan di dalam sebuah judul buku mengenang ketokohan beliau sempena ulangtahun kelahirannya yang ke-88 tahun “The Rennaissance Man.” Secara harfiah karya ini bolehlah diterjemahkan sebagai  Tokoh Islah atau Pembaharuan!

Memetik kata-kata Mendiang Tan Sri Profesor Emeritus Dr Khoo Kay Kim, tokoh sejarawan tanah air sebagai menghargai sumbangan besar Pak Ungku di dalam majlis meraikan perpisahan beliau:  “Kata orang patah tumbuh hilang berganti. Tetapi kedudukan satu legenda tetap unggul dan berseri.”

Persis saya bersetuju dengan pandangan itu. Allahyarham Pak Ungku tetaplah legenda unggul, berseri dan sukar dicari ganti.

Generasi kini harus menekuni buah fikiran, idea, falsafah, wibawa ilmu, keteladanan akademik, kesarjanaan dan tidak kurang pentingnya sikap rendah hati dan penuh berbudi beliau. Semoga Pak Ungku sejahtera di alam barzah, bersemadi bersama golongan beriman.  Alfatihah.

Mohd Shah Abdullah

Penulis, Mohd. Shah Abdullah, bekas wartawan dan kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Komunikasi dan Bahasa serta Pensyarah Kanan, Manipal International University (MIU), Nilai, Negeri Sembilan           

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast