LMS 4 yang dibangunkan di Wuhan, China.

KUALA LUMPUR – Littoral Mission Ship (LMS) Keempat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selesai menjalani fasa pembinaan dan selamat diturunkan di air di Limbungan Wuchang Shipbuilding Industry Group Ltd (WSIG), Wuhan, China hari ini bagi menjalani fasa seterusnya iaitu Fasa Ujian Penerimaan di Pelabuhan.

Bagaimanapun, penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda di seluruh dunia yang menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan di kedua-dua Negara (Malaysia dan China) menyebabkan upacara rasmi Penamaan LMS Keempat ini ditangguhkan dan akan dilaksanakan serentak dengan upacara penyerahan fizikal kapal yang dijadual dilaksanakan pada November 2021.

LMS diturunkan di air di Limbungan Wuchang Shipbuilding Industry Group Ltd (WSIG), Wuhan, ChinaCawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut berkata, LMS keempat ini bakal menyertai Skuadron LMS Ke-11 bersama KD KERIS (LMS Pertama), SUNDANG (LMS Kedua) dan LMS Ketiga.

Perolehan kapal-kapal LMS ini dilaksanakan di bawah kontrak Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) yang telah dimeterai pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama pihak China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC), China.

LMS merupakan salah satu daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15to5.

LMS akan diserahkan kepada TLDM pada November 2021.

Menurutnya, LMS berkemampuan melaksanakan tugas rondaan, pengawasan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), di samping menguatkuasakan undang-undang maritim Malaysia.

LMS Keempat ini bakal menjalani beberapa siri ujian penerimaan di pelabuhan dan seterusnya ujian penerimaan di laut sebelum diserahkan kepada TLDM pada November 2021.

Bakal warga kapal (BWK) LMS Keempat dijangka diaturgerak ke China bagi menjalani latihan penyesuaian pada awal April 2021 di China. – MalaysiaGazette