KUALA LUMPUR – Lazada Malaysia berjaya memecahkan rekod jualan sepanjang hari 12.12 tahun lalu hanya dalam tempoh 12 jam pada festival jualan akhir tahun kali ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Leo Chow, jualan akhir tahun kali ini menyaksikan rakyat Malaysia membeli hampir 100% lebih banyak dalam kategori barangan mainan, sukan dan peranti mudah alih memandangkan mereka sedang menunggu musim perayaan serta azam kedatangan tahun baru.
“Di persekitaran ekonomi yang serba mencabar ini, kami menyasar untuk menyokong komuniti pembeli, rakan janama dan penjual kecil melalui jualan 12.12 yang dianjurkan baru-baru ini.
“Kami bersyukur kerana dapat membantu pelanggan untuk berjimat cermat serta memberi tambahan nilai kepada ringgit mereka, sambil mendayakan para peniaga untuk bangkit semula dengan memanfaatkan pertumbuhan ekonomi digital yang berterusan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Jualan akhir tahun ini juga merupakan indikator kepada kejayaan penghijrahan digital bagi perniagaan tempatan.
Hampir 80 peratus lebih banyak jenama LazMall serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan mengambil bahagian dalam Lazada Malaysia 12.12 tahun ini, manakala, angka peniaga tempatan, bagi jenama dan penjual, yang menjana jualan dalam talian juga melonjak lebih 80 peratus dari tahun ke tahun.
”Ia menunjukkan bahawa bukan sahaja lebih banyak jenama dan penjual menggunakan platform eDagang kami, tetapi juga mencerminkan perniagaan telah mula memanfaatkan penyelesaian eDagang kami secara maksimum bagi mencapai jualan dalam talian, seperti alat Sponsored Search dan Sponsored Aflliliate kami.
“Komitmen kami bukan hanya sekadar untuk menggalakkan pendigitalan, tetapi kami turut menyokong transformasi digital para peniaga secara hujung ke hujung, dari pemasaran sehingga ke penjanaan jualan,” jelas Leo.
Penjual yang mencatatkan prestasi terbaik menggunakan fungsi “Sponsored Search” semasa Lazada 12.12 menyaksikan pulangan pelaburan (ROI) sehingga RM1,000 bagi setiap RM1 yang dibelanjakan, manakala lebih 600 peniaga telah menerima manfaat atau 100 peratus jualan melalui fungsi “Sponsored Affiliate” pada hari itu.
“Kejayaan Lazada 12.12 tahun ini banyak terkait dengan populasi tempatan yang semakin digital, yang mana aktiviti membeli-belah di dalam talian telah menjadi fenomena budaya yang semakin meluas. Hari ini, eDagang adalah sebahagian daripada gaya hidup harian normal baru di negara ini.
Kepercayaan yang semakin meningkat di kalangan pengguna Malaysia terhadap eDagang dibuktikan dengan peningkatan purata 40 peratus dari tahun ke tahun dalam nilai tambah ke atas Lazada Wallet mereka.
Dengan rakyat Malaysia menjadi lebih yakin untuk mengguna pakai penyelesaian pembayaran digital bagi membeli-belah dalam talian dan gaya hidup harian mereka, momentum pertumbuhan eDagang pada 2021 dijangka berterusan. – Bernama